Mohamed Salah – Foto: AFP
LEGENDA Manchester United, Wayne Rooney tampil mengkritik bintang Liverpool, Mohamed Salah selepas The Reds tewas 0-3 kepada Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad pada Ahad.
Rooney, yang bertugas sebagai penganalisis bola sepak dalam rancangan Match of the Day, menyelar aksi longlai Salah yang gagal membantu rakan sepasukan ketika bertahan, khususnya di bahagian sayap kanan.
Menurutnya, pemain antarabangsa Mesir itu sepatutnya menunjukkan komitmen lebih tinggi dengan membantu pertahanan muda, Conor Bradley, yang berdepan kesukaran mengekang kepantasan Jeremy Doku sepanjang perlawanan.
“Salah berada dalam pasukan untuk menjaringkan dan mencipta gol. Dia telah menjadi antara pemain terbaik Liga Perdana sepanjang enam atau tujuh tahun kebelakangan ini.
“Tetapi dalam perlawanan besar, kamu perlu berkorban dan membantu rakan sepasukan di bahagian pertahanan. Conor Bradley benar-benar berdepan kesukaran hari ini dan dia dibiarkan berseorangan,” katanya.
Bekas penyerang England itu turut menambah bahawa pemain tengah, Ryan Gravenberch, telah berusaha menutup ruang di kawasan tersebut, namun situasi itu membuka ruang lain kepada pasukan lawan.
“Salah sepatutnya turun membantu rakan sepasukan. Dalam situasi seperti ini, dia tidak boleh hanya tumpu untuk menjaringkan gol tetapi perlu bekerja sebagai satu pasukan,” ujar Rooney.
Ringkasan AI
- Wayne Rooney mengkritik Mohamed Salah selepas kekalahan Liverpool 0-3 kepada Manchester City
- Rooney menegur Salah kerana tidak membantu pertahanan, khususnya di sayap kanan
- Menurut Rooney, Salah sepatutnya menunjukkan komitmen lebih tinggi terhadap pertahanan muda Liverpool, Conor Bradley
- Rooney menyatakan Salah perlu berkorban dalam perlawanan besar untuk membantu rakan sepasukan
- Bekas penyerang England itu juga menambah bahawa situasi Salah yang tidak membantu pertahanan membuka ruang kepada pasukan lawan





