Rossa Terjun Dunia Podcast, ‘Habis Cerita’ Jadi Ruang Jujur Tiga Sahabat Sejati

Rossa Terjun Dunia Podcast, ‘Habis Cerita’ Jadi Ruang Jujur Tiga Sahabat Sejati

Rossa Terjun Dunia Podcast, ‘Habis Cerita’ Jadi Ruang Jujur Tiga Sahabat Sejati


Selepas lebih dua dekad mengukir nama sebagai diva muzik Nusantara, Datuk Seri Rossa mencipta satu lagi momen baharu dalam kerjayanya apabila buat pertama kali tampil sebagai hos podcast.

Podcast berjudul Habis Cerita itu menyaksikan Rossa bergandingan bersama dua sahabat baiknya, pelakon terkenal Nora Danish dan usahawan Natasha Ozeir, sekali gus membuka sisi berbeza persahabatan mereka yang jarang disorot.

Menurut Rossa, idea untuk menghasilkan podcast tersebut tercetus secara spontan ketika mereka bercuti bersama di Bali, Indonesia. Tanpa perancangan rapi pada awalnya, perbualan santai antara tiga sahabat itu akhirnya membawa kepada satu projek yang dekat di hati.

“Pada mulanya sekadar berbual kosong. Kami sendiri belum tahu topik apa yang mahu diketengahkan. Tapi selepas berbincang, kami jumpa hala tuju podcast ini,” katanya.

Rossa menyifatkan Habis Cerita sebagai ruang ‘me time’ buat dirinya, selain peluang berkongsi pengalaman hidup bersama peminat memandangkan mereka datang daripada latar kerjaya yang berbeza.

Lebih istimewa, podcast ini turut menjadi simbol penghargaan terhadap persahabatan yang sudah terjalin hampir 20 tahun.

“Saya kenal Nora ketika kami sama-sama menghiasi muka depan majalah kira-kira 20 tahun lalu. Manakala Tasha pula saya kenal melalui Joe Flizzow dan sejak itu kami semakin rapat,” jelasnya.

Sementara itu, Nora Danish berkata hubungan mereka kekal utuh kerana masing-masing tidak pernah menyimpan perasaan iri hati terhadap kejayaan rakan lain.

“Kami bukan jenis mudah terasa. Kalau ada isu, kami boleh ketawa dan selesaikannya. Walaupun jarang jumpa, bila berjumpa tetap akrab,” ujarnya.

Tambah Nora, konflik adalah perkara biasa dalam persahabatan, namun mereka memilih pendekatan forgive and forget demi menjaga hubungan jangka panjang.

Dalam pada itu, Natasha Ozeir memaklumkan Habis Cerita, yang bakal bersiaran di saluran YouTube, akan menampilkan tetamu daripada pelbagai latar belakang termasuk individu biasa yang mempunyai kisah hidup luar biasa.

“Kami bukan hanya mahu jemput golongan terkenal. Saya juga ingin dengar kisah pengawal keselamatan dari Nepal, pasti mereka ada cerita hidup yang menarik,” katanya.

Natasha berharap podcast tersebut dapat memberi manfaat kepada penonton dan membuka ruang perbualan yang jujur, santai serta penuh makna.

Podcast Habis Cerita dijangka menjadi platform perkongsian realiti hidup, persahabatan dan pengalaman yang jarang didedahkan kepada umum.



Source link

OR

Scroll to Top