aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pertembungan dua beregu lelaki negara di pusingan ketiga Kejohanan Dunia semalam berlangsung cukup tegang namun menghiburkan apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik bermandi peluh sebelum menundukkan pasangan muda, Yap Roy King-Arif Junaidi di Adidas Arena sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir.
Aksi penuh mendebarkan itu berakhir dengan Aaron-Wooi Yik meraih kemenangan 18-21, 21-18, 26-24 selepas bertarung selama 64 minit.
Pertemuan ini adalah yang kedua antara kedua-dua pasangan selepas kali terakhir berentap di Terbuka Thailand Jun lalu, yang mana ketika itu Aaron-Wooi Yik menang mudah 21-12, 21-13.
Nyata kehadiran Herry Iman Pierngadi yang mendapat julukan Naga Api berjaya merubah corak permainan Roy King-Arif yang kali ini tampil jauh lebih matang dan membuktikan mereka bukan lagi beregu muda yang mudah dijinakkan apabila memenangi set pertama 21-18 selain turut mendahului 11-7 di set kedua.
Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik yang juga juara dunia 2022 enggan mengangkat bendera putih. Mereka bangkit mengikat kedudukan di mata 16 sama dan terus berjuang untuk mengheret perlawanan ke set penentuan selepas menang 21-18 di set kedua.
Set ketiga menyaksikan perlawanan berintensiti tinggi dengan kedua-dua pasangan berbalas serangan mengejar mata demi mata.
Roy King-Arif sekali lagi hampir mencipta kejutan apabila mendahului 18-16 sebelum Aaron-Wooi Yik mengikat kedudukan 18 sama.
Detik paling dramatik hadir apabila Roy King-Arif berada di ambang kemenangan pada kedudukan 20-19, namun pengalaman Aaron-Wooi Yik nyata jadi pemisah apabila mereka memaksa mata deuce dan akhirnya menoktahkan kemenangan dalam perlawanan cukup dramatik itu dengan 26-24.
Kejayaan itu menyaksikan Aaron-Wooikan ke suku akhir dan akan berdepan sama ada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty ataupun beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
© New Straits Times Press (M) Bhd