Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Rozita Rohaizad gembira dan terharu apabila menerima Anugerah Seniwati Negara 2025 daripada Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM).
Rozita menyifatkan anugerah yang pertama kali diberikan kepadanya itu sebagai menghargai karyawan seni yang mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
“Saya di jemput hadir ke majlis graduasi pelajar kursus lakonan anjuran Cinta Events & Entertainment. Begitupun saya terkejut apabila tiba-tiba nama saya di sebut di atas pencalonan menerima anugerah oleh DPDDM.
“Syukur alhamdulillah dan terima kasih buat semua pengurusan DPDDM, keluarga, peminat dan rakan artis yang memberi sokongan kuat sepanjang bergelar anak seni,” kata anak kepada Allahyarham Seniwati Mariani Ismail dan H.M. Rohaizad itu.
Kata pelantun lagu Bila Ku Merindu itu lagi, pada majlis penganugerahan itu terdapat pelbagai kategori diberikan kepada karyawan seni dan ahli perniagaan yang berjaya dalam bidang masing-masing.
Menurutnya, anugerah seperti itu menunjukkan organisasi berkenaan menghargai sumbangan golongan industri kreatif dan bidang berkaitan.
“Yang penting buat saya…. ada organisasi yang prihatin mengenai perjuangan dan menghargai bakat saya. Selain pengorbanan kecil saya buat untuk negara tercinta,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd