RTM penyiar rasmi Sukan Komanwel Glasgow 2026, sasar hampir 100 jam siaran

RTM penyiar rasmi Sukan Komanwel Glasgow 2026, sasar hampir 100 jam siaran


SHAH ALAM – Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneruskan momentum kejayaan siaran langsung Piala Dunia FIFA 2026 apabila dilantik sebagai penyiar rasmi temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang berlangsung di Scotland bermula 23 Julai hingga 2 Ogos depan.

RTM akan membawakan liputan siaran langsung aksi atlet negara menerusi saluran Sukan+ di platform MYTV 111, RTMKlik dan media sosial rasmi RTM, selain turut disiarkan melalui saluran Sukan+ di platform Astro 806.

RTM dijadual menyediakan liputan menyeluruh bermula dengan Upacara Pembukaan hingga Majlis Penutup Sukan Komanwel Glasgow 2026, termasuk dua sesi siaran langsung laporan harian,tiga jam setiap sesi dan satu slot sorotan harian selama sejam.

Secara keseluruhannya, penyiar nasional itu akan menyiarkan hampir 100 jam kandungan bagi membolehkan rakyat Malaysia mengikuti perkembangan temasya berprestij berkenaan.

Dua sesi siaran langsung laporan harian akan disiarkan bermula 24 Julai hingga 2 Ogos, iaitu sesi pertama pada jam 6 petang hingga 9 malam dan sesi kedua bermula 25 Julai hingga 2 Ogos dari jam 1 pagi hingga 4 pagi. Slot sorotan harian pula disiarkan mulai 25 Julai hingga 3 Ogos dari jam 2 petang hingga 3 petang.

Siaran langsung Grandstand Upacara Pembukaan pada 24 Julai dari jam 2.30 pagi hingga 5.30 pagi akan dikendalikan tiga hos iaitu Zachki Ahmad Suri, Nik Syafiq Hadhari dan Nazrie Fahmie.

Ketiga-tiga hos berkenaan akan membawakan ulasan sepanjang berlangsungnya majlis pembukaan temasya sukan yang diadakan empat tahun sekali itu.

Bagi Grandstand Upacara Penutup pula yang dijadual berlangsung pada 3 Ogos, jam 2.30 pagi hingga 5.30 pagi, RTM menampilkan Jeed Zulkefli, Ninie Ibrahim dan Iffah Hazim sebagai hos.

RTM memanfaatkan reputasi baik yang diterima menerusi liputan Piala Dunia FIFA 2026 bagi memastikan siaran Grandstand Majlis Penutup Sukan Komanwel Glasgow 2026 turut disajikan dengan kualiti terbaik.

Kontinjen Malaysia diketuai Chef de Mission, Datuk Awalan Abdul Aziz dengan kekuatan 59 atlet terdiri daripada 37 atlet able dan 22 atlet para.

Mereka akan bersaing dalam 64 acara melibatkan lapan daripada 10 jenis sukan yang dipertandingkan termasuk angkat berat, renang, berbasikal trek, bola keranjang 3×3, gimnastik artistik, judo, boling padang dan olahraga.

Kontinjen negara menyasarkan kutipan lima pingat emas, dua pingat perak dan empat pingat gangsa berdasarkan potensi atlet serta prestasi semasa menjelang temasya itu.

Liputan Sukan Komanwel Glasgow 2026 merupakan kesinambungan komitmen penyiar nasional dalam menyediakan kandungan sukan berkualiti kepada rakyat Malaysia selepas lebih sebulan menyiarkan aksi Piala Dunia FIFA 2026.



Source link

OR

Scroll to Top