July 15, 2024

Ruang udara Asia Barat dibuka, pengembara Malaysia diminta peka

Ruang udara Asia Barat dibuka, pengembara Malaysia diminta peka


KUALA LUMPUR – Pengembara dari Malaysia dinasihatkan sentiasa peka dengan sebarang kemungkinan gangguan jadual penerbangan susulan pembukaan semula ruang usara Iraq, Iran, Jordan dan Lubnan.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, mereka juga disaran untuk merancang perjalanan dengan sewajarnya selain kekal berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan di negara-negara tersebut.

“Kerajaan Iran, Iraq, Jordan dan Lubnan telah mengumumkan pembukaan semula ruang udara dan penyambungan operasi penerbangan di negara masing-masing.

“Adalah dijangkakan terdapat kemungkinan kelewatan penerbangan apabila operasi disambung semula secara berperingkat dan disesuaikan dengan protokol baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Ahad lalu, Iraq membuka semula ruang udaranya selepas beberapa jam ditutup selepas jirannya, Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu terhadap Israel.

Negara jiran kepada Iraq iaitu Jordan, Lubnan dan Israel turut membuka semula ruang udara mereka pada hari sama.

Terdahulu, Malaysia Airlines (MAS) turut mengubah laluan penerbangan antara Kuala Lumpur dan London untuk mengelak ruang udara Iran berikutan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.

MAS, Air India, Qantas Australia serta syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa adalah antara syarikat penerbangan pertama yang mengubah laluan penerbangan buat sementara waktu kerana bimbang Iran akan menyerang Israel. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top