Rugi RM2.3 juta terpedaya pesanan pembelian palsu

Rugi RM2.3 juta terpedaya pesanan pembelian palsu



nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebuah syarikat pembekal keperluan perubatan dan farmasi kerugian RM2.3 juta selepas terpedaya dengan pesanan pembelian palsu kononnya daripada sebuah kementerian yang diterima menerusi dua lelaki.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1 Oktober lalu.

“Dalam kes tersebut, pengadu memaklumkan dia diperdaya dua lelaki masing-masing berusia 40-an yang menunjukkan dokumen pesanan pembelian dipercayai palsu pada November 2023.

“Dokumen itu didakwa daripada sebuah kementerian bernilai RM17 juta. Ia digunakan bagi memperdayakan mangsa membuat pelaburan berkaitan kelengkapan perlindungan diri,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Ramli berkata, mangsa dijanjikan pulangan sebanyak 18 peratus dalam tempoh empat bulan bersama dengan nilai pelaburan.

“Terpedaya dengan dokumen itu, mangsa bersetuju untuk melabur dan membuat bayaran menerusi 16 transaksi bernilai RM2.3 juta bermula November 2023 hingga 18 Jun lalu secara berperingkat ke syarikat suspek.

“Bagaimanapun pengadu tidak mendapat sebarang pulangan yang dijanjikan dan membuat laporan polis mengenai kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, semakan pengadu dengan kementerian terbabit kemudian mendapati dokumen pesanan pembelian berkenaan tidak wujud dan palsu.

“Susulan itu, kami membuat tangkapan terhadap seorang lelaki pada 15 Oktober lalu dan dia direman selama tiga hari sehingga 18 Oktober lalu.

“Suspek terbabit kemudian dijamin dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada 18 Oktober lalu bersabit kes penipuan di Petaling.

“Modus operandi bagi kes itu juga serupa iaitu menggunakan dokumen pesanan pembelian yang sama. Reman ke atas suspek itu ditolak dan dibebaskan dengan jaminan polis pada 19 Oktober lalu,” katanya.

Menurutnya, polis sedang mengesan seorang lagi suspek yang terbabit dalam kes itu dengan butiran mengenainya sudah diperoleh.

“Siasatan berhubung kes itu masih diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top