Rukuk pegang betis, sah atau tidak?

Rukuk pegang betis, sah atau tidak?


KETIKA solat berjemaah, pelbagai gaya dapat dilihat termasuk ketika rukuk.

Ada makmum meletakkan tangan pada lutut dan terdapat pula yang menahannya pada betis atau paha.

Situasi itu kadangkala menimbulkan keraguan dalam kalangan jemaah lain. Bukan apa, bimbang perbuatan itu menjejaskan kesempurnaan solat seseorang.

Ini kerana apabila teguran dibuat, individu berkenaan buat tidak tahu pula.

Pendakwah, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, perbuatan memegang selain lutut ketika rukuk tidak membatalkan solat, tetapi menyebabkan seseorang itu terlepas daripada pahala sunat.

USTAZ AZHAR

“Hukum pegang betis (ketika rukuk) tidak batal sembahyang. Begitu juga apabila rukuk dengan memegang paha, ia tidak membatalkan solat, tetapi tidak dapat pahala sunat.

“Rukuk dia sah. Yang sunatnya pegang lutut (ketika rukuk). Nabi Muhammad SAW letak tangan atas lutut,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di akaun YouTube miliknya baru-baru ini.

Dalam perihal solat, jelas agamawan itu, Rasulullah SAW bukan sekadar menyuruh umatnya menunaikan kewajipan itu, bahkan turut menegaskan agar ia dilakukan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Baginda SAW.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Solatlah kamu semua sepertimana kamu semua melihat aku mendirikan solat.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

“Kalau Nabi kata ‘solatlah’ sahaja, mudah. Ikut kita hendak buat apa-apa pun.

“Namun, Baginda tiba-tiba tambah pula (dalam hadis) ‘Solatlah, tetapi ikut yang macam aku tunjuk’. Nabi tunjuk (rukuk) pegang lutut,” terangnya.

PERBUATAN memegang selain lutut ketika rukuk tidak membatalkan solat, tetapi menyebabkan seseorang itu terlepas daripada pahala sunat. -Foto: CANVA

PERBUATAN memegang selain lutut ketika rukuk tidak membatalkan solat, tetapi menyebabkan seseorang itu terlepas daripada pahala sunat. -Foto: CANVA

Dalam soal ibadah, jelas Ustaz Azhar, umat Islam tidak boleh bersandar kepada logik akal semata-mata. Segala perincian yang ditunjukkan Rasulullah SAW sewajarnya menjadi panduan.

“Solat bukan ikut anda, tetapi solatlah seperti Nabi Muhammad SAW sembahyang. Itu pesanan Baginda,” tegasnya.

Melihat ungkapan hadis itu, ujar Ustaz Azhar, jelas bahawa setiap perbuatan Baginda adalah panduan dan sekiranya berlaku kesalahan kecil dalam perkara tidak jelas dalam hadis, maka ia dimaafkan.

“Jadi jawapannya, tukarlah tabiat. Yang pegang betis atau paha (ketika rukuk), peganglah lutut kerana Nabi Muhammad SAW berbuat demikian.

“Namun, orang yang pegang betis (semasa rukuk) tidak batal, tetapi yang sempurnanya adalah pegang lutut,” ungkapnya.

Sementara itu, Jabatan Mufti Negeri Selangor menjelaskan, memegang betis ketika rukuk boleh dihukumkan sebagai makruh kerana melebihi had yang disunatkan.

“Pun begitu, solat itu tidak terbatal. Memegang lutut semasa rukuk adalah sunat.

“Jika orang yang rukuk dengan memegang betis menjadi imam, solat makmum adalah sah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web emusykil.muftiselangor.gov.my.



Source link

OR

Scroll to Top