Rumah 12 sekeluarga ‘bertemankan’ ajal

Rumah 12 sekeluarga ‘bertemankan’ ajal


MELAKA – Ungkapan ‘Rumahku syurgaku’ mungkin sekadar mimpi buat 12 sekeluarga di Kampung Tengah Bukit Rambai, di sini, yang hanya menanti rebah kerana struktur bumbungnya reput dimakan anai-anai.

Warga emas, Mazelan Harun, 67, berkata, masalah berkenaan dikesan sejak tiga bulan lalu apabila kerangka kayu bumbung rumah pusaka berusia puluhan tahun itu mulai roboh.

Mazelan Harun

Menurutnya, keadaan itu diburukkan lagi dengan cuaca hujan lebat ketika ini menyebabkan bumbungnya bocor sehingga terpaksa menadah baldi di ruang tamu, dapur dan bilik bagi mengelakkan kediamannya itu banjir.

“Memang hidup saya, isteri, enam anak dan empat cucu yang masih kecil setiap hari ibarat bergadai nyawa kerana tak tahu sampai bila struktur kayu bumbung rumah yang reput ini mampu bertahan.

“Kalau hujan setiap malam, memang kami tak tidur lena kerana perlu tadah air hujan dengan baldi kalau tidak habis satu rumah digenangi banjir,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya.

Kesan kayu reput dimakan anai-anai yang jatuh di ruang bilik tidur.

Menurutnya yang hanya bergantung kepada pendapatan pencen tentera kira-kira RM1,300 sebulan, dia tidak mampu mengeluarkan kos yang tinggi untuk kos baik pulih kerosakan itu.

Tambahnya, pendapatan itu hanya sekadar cukup untuk menampung perbelanjaannya sekeluarga termasuk anak yang masih belajar di universiti awam.

“Sebab itu saya terpaksa mohon bantuan daripada beberapa pihak dan masih menunggu jawapan mereka sehingga kini.

“Masa ambil alih rumah ini dari arwah orang tua dua tahun lalu, saya tak tahu pula struktur kerangka kayunya sudah lama reput dimakan anai-anai dan kini hanya mampu berdoa dijauhkan daripada sebarang musibah,” katanya sebak.

Mazelan menunjukkan masalah kerangka kayu bumbung rumah yang reput menanti roboh sejak tiga bulan lalu.

Sementara itu, masalah yang dihadapi Mazelan turut mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM) diketuai Pengerusinya, Ashwad Abd Rahim.

Ashwad Abd Rahim

“Kita telah mengadakan perbincangan dengan Malaysian Relief Agency (MRA) Melaka apakah bentuk saluran bantuan yang sesuai dan Insya-Allah kami akan cuba bantu secepat mungkin.

“Berdasarkan pemerhatian kami, memang rumah ini sebenarnya sudah tidak selamat lagi untuk diduduki apabila banyak struktur utama kayu pada bumbung sudah patah dan reput,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional 0414041000054946 atas penama Mazelan Harun atau menghubunginya di talian 019-6879 858. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top