Di saat orang ramai berkobar-kobar untuk menyambut hari raya di kampung, penyanyi dan pelakon, Alif Satar tenang memilih untuk meraikan Syawal pertamanya bersama keluarga di Kuala Lumpur.
Kata Alif, dia sudah 10 tahun menyambut hari raya di rumah orang tuanya yang sering menjadi destinasi utama ahli keluarga serta rakan-rakan untuk berkumpul.
“Saya sudah 10 tahun beraya di KL. Saya memang Team Raya KL. Saya sebagai anak sulung bersama tiga adik perempuan lain akan berkumpul di rumah ibu beberapa hari sebelum raya. Saya buat rumah ibu saya seperti kampung.
“Siapa yang tahu saya beraya di sini, mesti akan datang beraya di rumah ibu saya. Macam tahun lepas Faizal Tahir sambut raya pertama di sini jadi dia pun datang beraya.
“Rumah ibu saya sudah jadi macam Headquaters (HQ), raya pertama dan kedua sentiasa akan ada saja orang datang tidak putus-putus,” katanya.
Meskipun Kuala Lumpur menjadi destinasi pilihan utama, Alif tetap tidak lupa untuk membawa isteri dan anak-anaknya pulang ke kampung untuk menziarahi saudara mara di sana.
Malah, penyanyi lagu Anugerah Terindah itu juga mahu anak-anaknya merasai suasana ketika beraya di kampung biarpun peraliran zaman itu sudah berbeza.
“Anak-anak saya tahu yang saya ada kampung di Pulau Pinang. Keluarga di sana juga masih ada. Kami akan pulang untuk menziarahi keluarga di sana saja. Jadi suasana kampung itu tetap ada.
“Lagipun, zaman sekarang ini sudah berbeza. Kalau dulu balik kampung memang rasa suasana kampung. Sekarang kampung kita pun sudah tidak seperti kampung malah, ada yang pilih untuk pergi ke pusat beli belah ketika beraya.
“Jadi beraya di KL pun seronok juga. Kami tidak perlu hadap kesesakan jalan raya dan nikmati cuti raya itu dengan tenang,” jelasnya.
SERTAI PERANG LAGU RAYA
Sejak awal Ramadan lalu, kebanyakan penyanyi seolah berperang melancarkan lagu raya terbaharu mereka. Muncul dalam pelbagai genre dan versi, tidak dinafikan lagu-lagu yang dilancarkan itu berjaya menghidupkan ‘mood’ raya terhadap setiap pendengar.
Turut tampil dengan single terbaharu yang berjudul Senyum-Senyum Raya, Alif bersama kumpulan, The Locos tidak kisah sekiranya dianggap terlambat untuk melancarkan lagu tersebut sempena lebaran ini.
Menurut Alif, kejayaan sesebuah lagu itu bukanlah bergantung pada masa, sebaliknya dia percaya dengan rezeki.
“Senyum-Senyum Raya merupakan hasil kerjasama saya dengan Hong Leong Bank sebagai duta. Lagu ini ciptaan sepenuhnya Faithful Music. Walaupun agak terlambat melancarkan lagu ini, saya tetap gembira.
“Kalau dulu orang kata ini semua tentang masa. Sekarang ini, saya rasa lancarkan saja bila-bila. Dia tiada apa-apa resepi pun untuk dapatkan sambutan dari pendengar.
“Cepat atau lambat kita keluarkan lagu tersebut tetap memberi kesan juga. Itu semua adalah rezeki,” katanya.
Ditanya mengenai pendapatnya tentang sikap sesetengah peminat yang suka membanding-bandingkan lagu penyanyi kegemaran dengan penyanyi lain, Alif beranggapan setiap pendengar mempunyai hak untuk memilih.
Namun, dia turut berpendapat setiap karya yang disajikan oleh penyanyi hanyalah sekadar hiburan secara umum bahkan, perkara itu tidak wajar untuk dijadikan bahan perbalahan dalam kalangan peminat.
“Itu hanyalah lagu raya. Segalanya hanya sekadar hiburan. Saya sudah hampir 20 tahun menjadi anak seni. Pada pendapat saya, seni ini tidaklah terlalu serius. Dia sekadar hiburan dan tidak akan kekal lama.
“Nanti lagu-lagu saya pun orang akan lupa juga. Selagi karya itu tidak melanggar batas kita sebagai umat Islam, adat dan budaya orang Melayu, apa salahnya? Tidak perlulah sampai bergaduh,” ujarnya.