am@hmetro.com.my
Kuantan: Sambutan Aidilfitri kali ini begitu bermakna buat Halijah Mat Ali yang menumpang teduh dengan adik-beradik lain apabila mendapat rumah baharu selepas menunggu hampir setahun.
Halijah, 51, dari Kampung Rangin, di sini, berkata dia amat bersyukur apabila penantian untuk memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan pada Ramadan ini.
Menurutnya, ini berikutan dia tidak mampu bekerja dan hanya bergantung ihsan adik beradik akibat menghidap diabetes kronik, darah tinggi serta masalah buah pinggang sejak dua tahun lalu.
“Saya begitu terharu apabila permohonan mendapatkan bantuan rumah asnaf diluluskan oleh MUIP (Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang) pada tahun lalu.
“Proses membina rumah bermula awal tahun ini dan mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan sebelum berpindah ke rumah baharu. Pasti Aidilfitri tahun ini akan disambut dalam suasana gembira,” katanya.
Halijah berkata, dia hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada MUIP yang membantu sehingga impian memiliki rumah sendiri kini tercapai.
“Saya rasa seolah bermimpi apabila impian menjadi kenyataan dan mungkin akan tinggal bersama anak saudara di rumah baharu.
“Syukur kepada Allah kerana dalam penderitaan dialami, ada pihak sudi membantu meringankan beban ditanggung,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, rumah berkenaan dilengkapi dua bilik tidur, ruang tamu dan satu bilik air selain beberapa perabot.
“Kita berharap ia akan memberi keselesaan kepada Halijah dan dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd