'Rumah baharu' MOM siap menjelang Sukan Sea Malaysia 2027

'Rumah baharu' MOM siap menjelang Sukan Sea Malaysia 2027



sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjangkakan mereka akan berpindah ke ‘rumah baharu’ di Bukit Jalil sebelum Sukan Sea Malaysia 2027 kelak.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib berkata, ketika ini semua proses sedang berjalan lancar dan lokasi sudah dikenal pasti kawasan yang sesuai untuk pembinaan itu bermula.

Jelasnya, pejabat baharu itu akan dibangunkan di sebelah Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

“Lokasi sudah disahkan di Bukit Jalil. Keluasan tempat itu lebih kurang lima ekar dan akan disewa daripada Perbadanan Stadium Malaysia (MSC) kepada MOM.

“Kami akan melakukan pertukaran dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) di mana mereka akan mengambil bangunan dan tanah kami (Wisma MOM) dan sebagai balasannya mereka akan membina ibu pejabat baru kami.

“Kami berharap ia dapat disiapkan sebelum Sukan Sea 2027, tetapi ia akan sedikit mencabar kerana kami masih belum mengetahui tarikh sebenar bagi Sukan SEA. Walau bagaimanapun, kami perlu memulakan segera.

“Perincian mengenai pajakan tanah sudah pun dibincangkan dan kami kini hanya menunggu kelulusan kabinet.

“Setelah kami dapat menyewa dan membuat pembayaran, kami boleh menyerahkan tanah kepada MRCB untuk memulakan kerja pembinaan,”katanya yang ditemui media selepas acara peramsian Kidslympics Malaysia, di Stadium Merdeka, hari ini.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa bangunan baru itu dijangka mengambil keluasan kira-kira 2 ekar (0.809 hektar) tanah manakala selebihnya pula akan digunakan untuk kemudahan lain termasuk tempat letak kereta.

Untuk rekod, ketika ini Wisma MOM terletak di Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur dan beroperasi sejak tahun 1991 lagi.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menaruh harapan tinggi kepada MOM untuk mendapatkan sekurang-kurangnya dua pingat emas di temasya Sukan Olimpik akan datang selepas terbinanya sebuah ibu pejabat baharu di Bukit Jalil kelak.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top