Rumah 'banjir' lalat, memang betul-betul tertekan

Rumah 'banjir' lalat, memang betul-betul tertekan


am@hmetro.com.my

Tampin: Dalam kolah, atas dapur, ruang tamu malah di dalam longkang. Hampir segenap ruang di rumah penduduk Kampung Ulu Air Kuning Selatan, di sini, dipenuhi ribuan lalat.

Keadaan bertambah buruk sejak seminggu lalu yang membuatkan penduduk tertekan kerana terpaksa menjalani ibadah puasa di dalam ‘banjir’ lalat dipercayai berpunca daripada dua ladang ayam berhampiran kawasan berkenaan.

Nor Hadilah Hadzir, 37 berkata, disebabkan masalah kronik itu, dia terpaksa membatalkan tempahan kuih raya pelanggan pada tahun ini walaupun sudah menjalankan perniagaan itu setiap tahun.

“Saya adalah perancang perkahwinan (wedding planner) dan setiap kali Ramadan, saya akan buat bisnes kuih raya di rumah ibu di sini.

“Tapi tahun ini saya buat keputusan batalkan tempahan yang dibuat pelanggan kerana tidak tahan dengan lalat yang sangat banyak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia hanya sempat menyiapkan 15 daripada 200 balang mauruku dan kuih loyang yang ditempah pelanggan awal Ramadan lalu kerana bimbang kehadiran lalat yang akan menjejaskan kualiti produknya.

“Boleh dikatakan dalam tempoh 10 minit sahaja kertas pelekat lalat yang diletakkan akan dipenuhi lalat. Macam mana saya nak berniaga kuih raya dengan keadaan dalam rumah banyak lalat.

“Serangga ini berterbangan siang dan malam malah dalam kolah mandi pun penuh dengan lalat, hingga tahap sudah malas untuk bersihkan kolah. Memang betul-betul tertekan,” katanya.

Menurutnya, isu kehadiran lalat ke rumah penduduk di kampung berkenaan bukan masalah baharu, namun ia bertambah teruk dan tidak terkawal sejak kebelakangan ini.

Katanya, kehadiran lalat dalam jumlah luar biasa bukan sahaja mengganggu keselesaan, malah menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kebersihan dan risiko penularan penyakit.

“Dulu saya boleh tahan lagi, tapi sekarang ini makin teruk sehingga bisnes saya terjejas.

“Saya tidak tahu suarakan kepada siapa lagi isu lalat di kampung ini kerana saya difahamkan ada yang sudah beritahu kepada pihak berwajib, tapi nampaknya masih berlarutan,” katanya.

Katanya, dia berharap supaya ada tindakan segera diambil terutama bagi memastikan penduduk dapat menyambut Aidilfitri dalam keadaan lebih tenang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top