Kuala Lumpur: Rumah terbuka sempena Aidilfitri telah sekian lama menjadi lambang keterbukaan, silaturahim dan perpaduan rakyat Malaysia. Ia bukan sekadar ruang untuk menjamu selera, tetapi juga satu bentuk interaksi sosial yang menghubungkan masyarakat pelbagai latar belakang. Dalam dunia pasca pandemik dan era digital yang serba pantas, tradisi ini mula berubah wajah. Kini ia memasuki fasa baharu yang lebih dinamik dan moden.
Pendekatan Baharu: Jemputan Digital dan Juadah Segera
Jika suatu ketika dahulu kad jemputan fizikal dan panggilan telefon menjadi medium utama, kini aplikasi seperti WhatsApp, Telegram serta e-kad digital menjadi pilihan yang lebih praktikal. Fungsi RSVP dalam talian pula membolehkan tuan rumah mengatur logistik dengan lebih mudah. Tidak kurang juga yang menggunakan borang digital atau jemputan melalui media sosial.
Dari sudut penyediaan makanan, menu katering dan konsep layan diri semakin menjadi kebiasaan, menggantikan masakan tradisional yang dimasak sendiri. Perkhidmatan penghantaran makanan juga menjadi pelengkap kepada rumah terbuka era baharu yang lebih mudah dan cepat.
Kemudahan Moden dan Nilai Tradisi
Walaupun kemajuan teknologi menjimatkan masa dan tenaga, wujud persoalan tentang keaslian nilai yang dibawa oleh rumah terbuka. Dalam gaya hidup moden yang serba sibuk, interaksi menjadi lebih ringkas, dan kunjungan sering dilakukan hanya sekadar memenuhi jemputan.
Lebih membimbangkan apabila rumah terbuka menjadi medan perbandingan gaya hidup. Sama ada dari segi dekorasi, busana atau juadah yang dikongsi di media sosial, semangat keikhlasan dan kesederhanaan semakin terpinggir.
Perubahan sememangnya tidak dapat dielakkan, tetapi nilai murni dalam budaya rumah terbuka perlu dipelihara. Teknologi wajar dijadikan alat yang membantu dan bukan merubah makna.
Sebagai contoh, walaupun jemputan dilakukan secara digital, tuan rumah masih boleh menyisipkan mesej mesra secara peribadi. Menu katering pula boleh mengekalkan citarasa tradisional yang membangkitkan nostalgia kampung halaman.
Bagi generasi muda, rumah terbuka boleh menjadi ruang pendidikan sosial. Aktiviti seperti permainan tradisional, tayangan video keluarga atau sesi santai bersama tetamu dapat menghidupkan semula suasana yang mesra dan penuh makna.
Rumah terbuka era baharu bukan bererti kita meninggalkan akar budaya, sebaliknya menyesuaikannya dengan perubahan zaman. Asalkan niat untuk menyambut dan menghargai tetap kekal, tradisi ini akan terus hidup dan relevan.
Maklumat penulis
Nurul Nadiah Ahmad
Pensyarah Kanan, Uniten Business School,
Universiti Tenaga Nasional