Tochtawan (kiri) yakin skuad kendaliannya berikan aksi terbaik. Foto Facebook True Bangkok United
PENGENDALI Bangkok United FC, Totchtawan Sripan yakin skuad kendaliannya akan dapat memberikan aksi terbaik pada saingan Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Khamis, susulan penggunaan rumput jenis Zeon Zoysia di Stadium Sultan Ibrahim.
Malah, menurut bekas pemain kebangsaan Thailand era 90-an itu, penggunaan rumput berkenaan turut menjanjikan aksi berkualiti daripada kedua-dua pasukan dalam usaha meraih tiga mata berharga.
“Penggunaan rumput jenis Zeon Zoysia ini sama seperti yang kami gunakan di Stadium Pathum Thani. Oleh itu, sudah tentu tiada masalah untuk berdepan JDT yang memiliki reputasi hebat dalam saingan ACC kali ini.
“Apa pun, kami tidak terlalu meletak sasaran tinggi sebaliknya mahu memberi sepenuh fokus sepanjang 90 minit perlawanan.
“Lagi pun, kami berdepan jadual yang padat selepas aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL), kami perlu menentang Buriram United dalam aksi Liga Thailand 1 (Liga Thai 1) dan tewas 1-2. Pemain agak kepenatan, ada pemain yang mengalami kecederaan tapi kami melakukan penggiliran pemain dan bersedia untuk berdepan JDT,” katanya.
Sementara itu, Totchtawan berkata, kekalahan kepada Buriram United dalam saingan Liga Thailand baru-baru ini, tidak akan menjejaskan tumpuan pemain menjelang aksi ACC berdepan JDT.
Katanya, keadaan mental dan keyakinan pemain masih berada di tahap tinggi dan mereka bersedia untuk beraksi mengikut perancangan yang telah diatur.
“Sebenarnya, setiap pasukan memiliki identiti dan ciri-ciri sendiri dan anda tidak boleh samakan kami dengan JDT kerana mereka merupakan pasukan hebat di rantau Asia Tenggara.
“Kami tidak akan terikut-ikut gaya permainan mereka sebaliknya mengamalkan corak permainan yang kami selalu pratikkan dalam usaha memburu kejayaan,” katanya.
Ringkasan AI
- PENGENDALI Bangkok United FC, Totchtawan Sripan yakin skuadnya akan beraksi terbaik di Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN berdepan JDT dengan penggunaan rumput Zeon Zoysia
- Penggunaan rumput jenis Zeon Zoysia di Stadium Sultan Ibrahim menjanjikan aksi berkualiti dari kedua-dua pasukan
- Rumput Zeon Zoysia sama seperti yang digunakan di Stadium Pathum Thani, tiada masalah untuk berdepan JDT
- Kekalahan kepada Buriram United dalam Liga Thailand tidak menjejaskan tumpuan pemain berdepan JDT, mental dan keyakinan pemain tinggi
- Totchtawan tidak akan mengikut gaya permainan JDT, tetapi mengamalkan corak permainan yang sudah biasa diamalkan