Rundingan gencatan senjata Gaza di Mesit tunjuk kemajuan – Presiden Al-Sisi

Rundingan gencatan senjata Gaza di Mesit tunjuk kemajuan – Presiden Al-Sisi


Kaherah/Istanbul: Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi pada Rabu berkata rundingan genjatan senjata Gaza antara Israel dan Hamas di bandar Laut Merah, Sharm el-Sheikh sedang menunjukkan kemajuan, sambil menjemput Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menghadiri majlis menandatangani perjanjian itu di Mesir sekiranya ia berhasil, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Berucap pada majlis tamat latihan polis di timur Kaherah, al-Sisi berkata rundingan di Sharm el-Sheikh “berjalan secara positif.”

“Saya menjemput Presiden AS Donald Trump untuk hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian genjatan senjata di Mesir sekiranya ia tercapai. Kehadiran anda di sini pastinya amat bermakna,” katanya.

Hamas pada Rabu memaklumkan bahawa pihaknya telah bertukar senarai tahanan Palestin yang akan dibebaskan dengan Israel, ketika rundingan tidak langsung antara kedua-dua pihak diteruskan bagi mencapai persetujuan.

Ketua Penasihat Media Hamas Taher al-Nunu berkata dalam kenyataan di Telegram bahawa rundingan itu memberi tumpuan kepada mekanisme penamatan perang, pengunduran pasukan pendudukan dari Gaza serta pertukaran tahanan.

Delegasi peringkat tinggi turut menyertai rundingan itu, termasuk utusan khas AS Steve Witkoff, menantu Trump Jared Kushner dan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani.

Ketua Perisikan Turkiye Ibrahim Kalin dan Menteri Hal Ehwal Strategik Israel Ron Dermer dijadualkan tiba untuk menyertai rundingan berkenaan.

Pada 29 Sept, Trump mengumumkan cadangan 20 perkara yang merangkumi pembebasan semua tawanan Israel sebagai pertukaran bagi tahanan Palestin, pelaksanaan genjatan senjata, pelucutan senjata Hamas serta pembinaan semula Gaza. Hamas telah bersetuju secara prinsip terhadap pelan itu.

Tentera Israel telah membunuh lebih 67,000 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023.

Pengeboman berterusan telah menjadikan wilayah itu hampir tidak dapat didiami serta menyebabkan perpindahan besar-besaran, kebuluran dan penularan penyakit.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top