Kota Kinabalu: Kerajaan Persekutuan akan memastikan proses rundingan bersama kerajaan negeri Sabah berhubung semakan dan pembayaran Geran Khas 40 peratus untuk negeri itu berjalan lancar melalui penyelarasan berterusan antara pihak berkaitan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata beliau berperanan sebagai penyelaras bagi memastikan libat urus antara Kementerian Kewangan (MoF) dan kerajaan negeri dilaksanakan secara berkesan.
Beliau berkata perkara itu selaras dengan tanggungjawabnya dalam mengkoordinasi Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Induk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan rundingan antara kedua-dua pihak berjalan lancar.
“Pihak kerajaan meminta sedikit penangguhan supaya kita boleh perincikan data kerana kita perlu meneliti data sejak 1974 hingga sekarang, jadi pihak Kementerian Kewangan bersama kerajaan negeri memerlukan sedikit masa.
“Saya memberi komitmen kepada rakyat Sabah bahawa saya sendiri sebagai menteri yang bertanggungjawab akan memastikan proses ini berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Raya Aidilfitri Sekampung bagi Parlimen Sepanggar di sini malam ini.
Mengulas lanjut, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata satu pertemuan bersama Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.
Beliau berkata penangguhan semakan itu memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk memperincikan data serta memastikan ketepatan fakta sebelum sebarang persetujuan dicapai.
Dalam pada itu, Mustapha berkata kerajaan menghormati pandangan pelbagai pihak berhubung isu berkenaan dan memahami harapan rakyat Sabah agar ia diselesaikan segera.
Katanya permohonan penangguhan semakan merupakan amalan biasa dalam sistem perundangan bagi memberi ruang kepada proses semakan semula sesuatu keputusan.
“Saya bukan peguam, tetapi dalam sistem mahkamah, mana-mana pihak mempunyai hak untuk memohon penangguhan dan semakan penghakiman.
“Ini adalah proses biasa, cuma kali ini ia dilihat luar biasa kerana melibatkan isu 40 peratus,” katanya.
Pada 17 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Bagaimanapun pada 6 April lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi berhubung semakan taksiran dan pembayaran Pemberian Khas Sabah.
© New Straits Times Press (M) Bhd






