mdroji@bh.com.my
Kuching: Perundingan komersil antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) masih dijalankan walaupun deklarasi persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak sudah dimeterai, tiga bulan lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, deklarasi itu sudah dimuktamadkan dan memperkukuh persefahaman bahawa undang-undang Persekutuan dan negeri perlu berjalan seiring.
“Deklarasi sudah ada, cuma yang belum dimuktamadkan ialah dari segi perundingan perniagaan antara PETRONAS dan PETROS yang kini masih berjalan,” katanya ketika ditemui selepas Program MySalam 3K Petra Jaya di Dewan Masyarakat Kampung Samariang Batu, Petra Jaya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, di Parlimen semalam bahawa PETRONAS dan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) belum memuktamadkan terma dan mekanisme pelaksanaan deklarasi bersama mengenai pengagihan gas.
Azalina dilapor berkata, keadaan itu berlarutan selepas hampir tiga bulan pemeteraian deklarasi antara kerajaan persekutuan dan Sarawak dimeterai.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, deklarasi berkenaan menzahirkan komitmen kedua-dua pihak dan mengiktiraf undang-undang Persekutuan serta negeri.
“Tiada tempoh masa ditetapkan untuk memuktamadkan rundingan antara kedua-dua syarikat minyak dan gas itu, namun kerajaan berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Asas dan persetujuan sudah ada. Kita mengharapkan rundingan ini dapat dipercepatkan bagi memudahkan pelaburan serta urusan perniagaan, sama ada di daratan mahupun di luar pesisir,” katanya.
Deklarasi Bersama itu ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg pada 21 Mei lalu.
Ia menjadi asas kepada pembentukan rangka kerja kerjasama antara PETRONAS dan PETROS dengan menggariskan prinsip utama penyelarasan seperti semua undang-undang Persekutuan dan Negeri Sarawak yang berkaitan dengan pengagihan gas di dalam Sarawak hendaklah wujud secara bersama dan dihormati oleh semua pihak yang menjalankan aktiviti berkenaan di Sarawak.
Selain itu, prinsip utama pelarasan turut menyatakan PETRONAS akan terus menjalankan peranan dan tanggungjawab seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (Akta 144).
PETROS pula dilantik sebagai agregator gas bagi pasaran domestik Sarawak berkuat kuasa 1 Mac 2025 dan pelantikan berkenaan akan dihormati oleh semua peserta industri yang terbabit dalam pengedaran dan pembekalan gas kepada pengguna dalam negeri.
Bagi perniagaan gas asli cecair (LNG) pula, PETRONAS akan terus menjalankan peranan dan tanggungjawab dalam kesemua rantaian aktiviti huluan hinggalah penjualan LNG ke pasaran antarabangsa dan sebarang perjanjian dan pengaturan perjanjian sedia ada antara PETRONAS dan/atau anak syarikatnya dengan pihak ketiga bagi tujuan penjualan LNG (daripada sektor huluan hingga pengeksportan LNG) tidak terjejas dan akan terus berkuat kuasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd





