syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Ryan Deedat dirawat di sebuah hospital swasta di ibu kota selepas disahkan menghidap Bali Belly atau keracunan makanan selepas pulang dari Bali, Indonesia.
Ryan berkata, dia ditahan di hospital sejak tiga hari lalu dan tidak pernah menyangka akan melalui pengalaman itu kerana hanya makan di restoran popular dan meyakinkan dari sudut kebersihan.
“Apa yang berlaku, saya dimasukkan ke wad disebabkan Rotavirus. Ia adalah virus yang kena disebabkan kotoran. Sama ada pengendali makanan itu kotor atau makanan itu ada racun ataupun ada pembawa Rotavirus itu.
“Jadi, pada awalnya semasa di Bali okay sahaja dan tak ada rasa sakit perut atau apa. Saya makan di kedai-kedai popular.
“Tak sangka pula akan kena sebab selalunya, saya cuma dengar, selalunya pelancong yang alami perkara ini selepas makan dari gerai tepi jalan dan sebagainya. Tapi, saya makan di restoran yang ‘proper’.
“Jadi, bila saya balik Malaysia, semasa di lapangan terbang KLIA saya terus ke toilet sebab tak tahan. Sejak itu, saya buang air lebih kurang 20 kali dalam 24 jam. Ibaratnya dah macam air terjun. Memang keluar air saja,” katanya kepada Harian Metro.
Tambah penyanyi lagu Kena Sidai itu, gejala yang dialaminya sangat teruk sehingga memaksanya untuk mendapatkan rawatan di hospital.
“Mula dengan sakit perut mencucuk-cucuk, kemudian pening dan juga demam. Hari kedua memang saya tak tahan sangat, sampai saya ke hospital.
“Bila saya dah mula pening-pening, saya terus ke hospital. Awalnya, saya fikir ini benda biasa. Rupa-rupanya, ini bukan benda biasa dan agak serius.
“Bila dijalankan pemeriksaan, memamg ini Rotavirus. Saya ditahan lebih kurang tiga hari dan dijangka akan ditahan lebih lama sehingga lima ke enam hari lagi,” katanya.
Trauma dan fobia dengan apa yang berlaku, Ryan berkata, pengalaman ini mengajarnya supaya lebih berjaga-jaga dari sudut pemakanan saat berada di Bali pada masa akan datang.
“Saya rasa betul-betul nak pengsan sampai tak boleh jalan dengan betul. Ini sesuatu yang saya tak pernah lalui.
“Ini adalah pengalaman yang sangat perit sampai saya macam fobia dengan Bali walaupun saya sangat sukakan Bali.
“Kalau selepas ini nak ke sana lagi, saya akan ambil langkah berjaga-jaga dari segi makan dan minum,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd