Cincinnati: Elena Rybakina menyingkirkan pilihan utama, Aryna Sabalenka selepas mencatat kemenangan 6-1, 6-4 di suku akhir Terbuka Cincinnati WTA dan ATP, sekali gus menamatkan cabaran juara bertahan itu, semalam.
Juara Wimbledon 2022 itu meraih kemenangan kelima daripada 12 pertemuan peribadi menentang pemain nombor satu dunia itu, sebagai membalas dendam kekalahan di Berlin dua bulan lalu.
Rybakina akan bertemu Iga Swiatek di separuh akhir selepas pilihan ketiga itu menundukkan Anna Kalinskaya 6-3, 6-4.
Dibantu 11 servis ace, Rybakina melakar kejutan untuk mara ke separuh akhir pertamanya di Cincinnati.
“Saya gembira dengan servis hari ini, ia menjadi kunci kemenangan. Jika dia (Sabalenka) juga beraksi baik di servis, perlawanan mungkin jadi berbeza. Aksi di baseline juga sengit. Saya harap dapat teruskan prestasi ini,” kata Rybakina
Rybakina kini menang tiga perlawanan terakhir berturut-turut menentang Swiatek, semuanya pada musim ini.
Sementara itu, Swiatek mengambil masa 93 minit untuk menewaskan Kalinskaya, sekali gus membalas kekalahan di separuh akhir Dubai pada Februari lalu.
Bekas pemain nombor satu dunia itu akhirnya mara ke kelompok empat terakhir Cincinnati pada hari yang panas terik. Namun dia kekal fokus untuk mara ke separuh akhir bertaraf 1000 keempat musim ini.
“Kita perlu biasakan diri dengan cuaca panas memandangkan dunia kini sedang berubah. Ia semakin teruk, saya rasa,” kata Swiatek yang juga pemenang enam gelaran Grand Slam itu.
Swiatek kini menuju ke separuh akhir dengan rekod 47 kemenangan serta satu gelaran Wimbledon musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






