Aksi pemain Sabah, Daniel Ting (kiri) ketika berdepan DPMM FC dalam aksi pramusim di Stadium Likas, Kota Kinabalu. Foto: Sabah Football Club
JURULATIH Sabah FC, Alto Linus menyifatkan kemenangan 3-1 ke atas kelab dari Brunei, DPMM FC dalam aksi pramusim di Stadium Likas sebagai satu suntikan semangat buat The Rhinos.
Alto bagaimanapun menegaskan bahawa aspek konsistensi dan kecergasan kekal menjadi fokus utama dalam memantapkan persediaan pasukan sebelum sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) 2025/26.
Menurut Alto, beliau berpuas hati dengan komitmen serta disiplin taktikal yang dipamerkan oleh semua pemain, sama ada yang diturunkan dalam kesebelasan utama mahupun pemain gantian.
“Saya berpuas hati dengan persembahan semua pemain. Mereka bermain mengikut perancangan dan menunjukkan kesungguhan yang saya harapkan sepanjang perlawanan,” katanya selepas perlawanan.
Tambah beliau, perlawanan tersebut merupakan sebahagian daripada fasa penting untuk menilai tahap kecergasan serta kefahaman pemain terhadap pendekatan taktikal pasukan.
“Secara keseluruhan saya gembira dengan corak permainan yang dipersembahkan. Tetapi masih ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dan dibaiki, terutama dari segi kestabilan permainan sepanjang 90 minit.
“Saya mahu semua pemain bersedia sepenuhnya dan mengekalkan tahap konsistensi agar kita mampu meraih keputusan positif dalam setiap perlawanan apabila saingan liga bermula kelak,” jelas beliau.
Kemenangan ke atas DPMM FC merupakan kemenangan pramusim kedua berturut-turut buat skuad The Rhinos selepas menundukkan Kasuka FC 4-0 di gelanggang sama minggu lalu.
Sebelum itu, Sabah FC tewas besar 2-8 kepada gergasi bola sepak Thailand, Buriram United dalam satu aksi persahabatan di Stadium Pattani.
Pasukan dari Borneo itu dijadual meneruskan beberapa lagi aksi pemanas badan sebagai persiapan akhir menjelang sepak mula Liga-M 2025/26 yang dijadual bermula awal Ogos.