Joao Pedro (kanan) menyertai kelab Ho Chi Minh City FC di Vietnam secara pinjaman.
SABAH FC terpaksa akur dengan keputusan penyerang importnya, Joao Pedro untuk menyertai kelab Ho Chi Minh City FC di Vietnam secara pinjaman.
Pengurus Besarnya, Md Joh Wid berkata, keputusan itu dibuat setelah pemain berusia 25 tahun dari Brazil itu menerima tawaran daripada kelab Vietnam tersebut, walaupun pihak pengurusan Sabah FC telah berusaha memujuknya supaya terus bersama pasukan.
“Joao Pedro tetap dengan keputusannya untuk menerima tawaran itu,” katanya sambil menambah Sabah FC bersetuju untuk melepaskannya selepas perbincangan dengan ketua jurulatih dan pasukan kejurulatihan.
“Sabah FC mengucapkan terima kasih kepada Joao Pedro atas sumbangannya kepada pasukan dan mendoakan yang terbaik buatnya dalam karier di Ho Chi Minh City FC,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pedro menyertai Sabah FC pada 15 Ogos lalu melalui jendela perpindahan kedua musim 2024/2025 dan kontraknya sepatutnya berakhir pada 30 April depan.
Sepanjang bersama skuad Sang Badak, Pedro telah menjaringkan lapan gol dalam 15 perlawanan.
Sabah FC kini berada di kedudukan ketiga dalam Liga Super dengan 32 mata daripada 17 perlawanan.
Skuad Badak itu akan melayan kunjungan Sri Pahang FC di Stadium Likas, di sini, dalam aksi Liga Super malam ini. – Bernama