Sabah juara keseluruhan MSSM 2024

Sabah juara keseluruhan MSSM 2024



sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sabah muncul juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2024 selepas meraih 23 pingat emas selain menyaksikan 18 rekod berjaya dipecahkan.

Pelari dari Pulau Pinang, Muhammad Sayyid Amin Roslan antara yang paling menonjol apabila menampilkan larian luar biasa dengan memecah rekod sebanyak dua kali dalam acara 200 meter (m) lelaki Bawah 18 Tahun (B-18) bermula di separuh akhir dengan catatan 21.42 saat (s) dan memadam rekod lama, 21.59s milik Muhammad Haiqal Hanafi dari Negeri Sembilan.

Di final, Sayyid sekali lagi melakukan rekod baharu dengan kepantasan 20.94s sekali gus memperbaharui rekod dirinya sendiri.

Sementara itu, atlet lompat kijang dari Kelantan, Alia Batrisyia Nasaruddin pula memenangi olahragawati selepas berjaya meraih satu emas dan satu perak dan memecah rekod 11 tahun dalam acara itu bagi kategori wanita B-18 dengan lompatan sejauh 12.62m.

Pada masa sama, pihak Milo akan terus komited bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan program pembangunan melalui Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) diteruskan bagi melahirkan lebih ramai atlet berbakat mewakili Malaysia selepas ini.

Ketua Pemasaran Sukan Milo Malaysia, Lim Kerwin berkata, kejohanan MSSM itu bukan hanya tertumpu kepada kemenangan semata-mata, sebaliknya ia adalah platform terbaik buat pelajar membina jati diri melalui acara yang disertai kerana mereka bersaing dengan yang terbaik di Malaysia.

“Bagi atlet muda ini, MSSM lebih daripada sekadar meraih pingat dan ia memberikan peluang untuk membina persahabatan, memupuk kerjasama dan merasai kegembiraan bersaing serta belajar dari rakan-rakan di seluruh negara.

“Kenangan dan pengalaman yang diperoleh melalui MSSM sangat berharga kerana atlet bukan sahaja mengasah kemahiran mereka tetapi juga berkembang dalam perwatakan. Milo percaya sukan mengajar kita banyak perkara berkaitan kehidupan seperti mencari keberanian bagi mengatasi ketakutan hingga membina keyakinan diri selain perlu bekerjasama sebagai satu pasukan,” katanya.

Tambahnya, pada tahun ini, lebih 12,900 pelajar yang mewakili 16 kontinjen bertanding dalam 24 sukan dan kesemuanya mempamerkan bakat terbaik.

Kejohanan MSSM itu bermula pada Mei lalu dengan acara Larian Merentas Desa di Putrajaya, diikuti di Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur, Selangor, dan acara terakhir adalah olahraga yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh dengan 18 rekod baru berjaya tercipta.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top