Sabah kini menyaksikan pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan penyertaan beberapa gabungan utama termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS), UPKO, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), yang menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Kerajaan Perpaduan libatkan beberapa gabungan
Memetik laporan daripada Astro Awani, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Joachim Gunsalam, menjelaskan sokongan ini secara rasmi membolehkan kerajaan negeri baharu berfungsi, sementara Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) masih belum menyertai.
“BN dan Pakatan Harapan (PH) menyokong Kerajaan Negeri…. STAR belum lagi,” katanya dalam sidang media di Kediaman Rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, Isnin lalu.

Beberapa ADUN angkat sumpah jemaah menteri Kerajaan Perpaduan
Sebelum ini, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah mengangkat sumpah sebagai Ahli Jemaah Menteri baharu di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu.
Struktur kerajaan melibatkan GRS dengan 29 kerusi, Bebas, 5, UPKO, 3, PH, 1, Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), 1, dan BN, 6.
BN telah menyerahkan senarai calon menteri dan timbalan menteri untuk pertimbangan kerajaan negeri.
Manakala, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan bahawa kerajaan negeri meminta setiap parti pendukung mengemukakan calon masing-masing.

Artikel lain: Pemuda BN tak setuju sertai kerajaan GRS, rela kekal sebagai pembangkang
Dalam PRN17, BN bertanding di 44 kerusi DUN Sabah dan meraih kemenangan di enam kawasan iaitu Sukau, Lamag, Kunak, Liawan, Bengkoka, dan Sook, menegaskan peranan mereka dalam kabinet baharu negeri ini.






