Sabar dan perjuangan

Sabar dan perjuangan


– Advertisement –

RASULULLAH S.A.W mendidik ummatnya untuk memjadi ummat yang kuat, tetapi sekarang purata kehidupan manusia semakin menjadi lembik. Rasulullah S.A.W mendidik para sahabatnya tahan lasak, di jiwa dan fizikalnya. Dengan cara apa? Dengan Iman. Allah S.W.T menceritakan kepada Rasulullah S.A.W di dalam al-Quran, tentang kisah-kisah Nabi sebelumnya untuk dijadikan pengajaran.

Lihat kepada kisah nabi Ayyub A.S, simbul seorang yang sabar. Beliau seorang Nabi yang di uji Allah S.W.T dengan kesihatannya, hartanya dan keluarganya. Selama 18 tahun Nabi Ayyub A.S hidup dengan musibah di tubuhnya, semua hartanya musnah dan anaknya mati. Tidak ada satu bahagian pun anggota badannya yang sihat kecuali lisan dan hatinya. Beliau berzikir kepada Allah S.W.T dengan keduanya. Nabi Ayyub A.S sentiasa bersabar mengharapkan pahala daripada Allah S.W.T. Beliau sentiasa berzikir kepada Allah S.W.T di waktu malam, siang, pagi dan petang.

– Advertisement –

وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayyub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.”

(Surah al-Anbiya’: 83)

Nabi Ayyub A.S mengadukan hatinya hanya kepada Allah S.W.T: Ya Tuhanku, sungguh, aku telah ditimpa penyakit yang terasa sangat berat tetapi aku yakin bahwa Engkau Tuhan Yang Maha Penyayang dari semua yang penyayang, sehingga cobaan ini merupakan bentuk kasih sayang-Mu kepadaku – tafsiran dari surah al-Anbiya ayat 83. 

Luar biasanya kekuatan Iman Nabi Ayyub A.S, dalam teruji, Beliau masih mengagungkan dan mengingati tentang kebesaran Allah S.W.T, Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Beliau sentiasa sabar dan memperjuangkan Imannya.

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; “Rasulullah S.A.W bersabda: ‘Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah S.W.T daripada Mukmin yang lemah. Pada masing-masing memang terdapat kebaikan. Bersemangatlah melakukan hal yang bermanfaat untukmu dan meminta tolonglah pada Allah S.W.T, serta janganlah engkau malas (menjadi orang yang lemah). Apabila kamu tertimpa suatu kemalangan, maka janganlah kamu mengatakan; ‘Seandainya tadi aku berbuat begini dan begitu, nescaya tidak akan menjadi begini dan begitu’. Tetapi katakanlah; ‘lni sudah takdir Allah S.W.T dan apa yang dikehendaki-Nya pasti akan dilaksanakan-Nya.Dan jauhilah olehmu dari ucapan ‘Seandainya’ (kalau), kerana sesungguhnya ungkapan ‘Seandainya’ (kalau) membuka peluang masuknya syaitan.” 

(HR Muslim No: 4816 – Status Hadis: Sahih)

Manusia dilihat kekuatannya dari Imannya bukan semata dari fizikal dan keterampilannya. Dari keutuhan keimanan inilah akan memberikannya kebahgiaan dan kejayaan di dalam kehidupan ini. Pastikan kalian sentiasa merasakan Iman kalian sentiasa kuat dan meningkat.

Kisah Nabi Yunus A.S pula, sentiasa memperjuangkan agama ini sehingga Beliau lelah dan akhirnya meninggalkan kaumnya tanpa izin daripada Allah S.W.T. Beliau naik ke sebuah kapal, pergi meninggalkan kampung dan kaumnya tetapi Beliau pergi tanpa meninggalkan Allah S.W.T di hatinya. Ketika dilemparkan kelautan, Allah S.W.T kirimkan ikan paus, menelannya dan dibawa kedasar lautan yang sangat gelap, berhari-hari. Di saat teruji ini Nabi Yunus A.S lalu berdoa:

وَذَا النُّوْنِ اِذْ ذَّهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ اَنْ لَّنْ نَّقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادٰى فِى الظُّلُمٰتِ اَنْ لَّآ اِلٰهَ اِلَّآ اَنْتَ سُبْحٰنَكَ اِنِّيْ كُنْتُ مِنَ الظّٰلِمِيْنَ ۚ

“(Ingatlah pula) Zun Nun (Yunus) ketika dia pergi dalam keadaan marah, lalu dia menyangka bahwa Kami tidak akan menyulitkannya. Maka, dia berdoa dalam kegelapan yang berlapis-lapis: ‘Tidak ada tuhan selain Engkau. Mahasuci Engkau. Sesungguhnya aku termasuk orang-orang zalim.’”

(Al Anbiya : 87)

Beliau beriman bahawa Allah S.W.T yang Maha Sempurna, tetapi ada di kalangan kita yang Imannya lemah sehingga menjadi generasi yang sulit untuk berjuang, yang rapuh dan yang tidak teguh semangatnya. Dan ramai di antara kita juga kurang bersyukur atas limpahan nikmat Allah S.W.T yang melimpah ruah dalam kehidupan kita.

Kenapa ada orang rela melakukan perkara-perkara yang haram, seperti meminum arak, menghisap dadah dan hal-hal lain yang dilarang oleh agama? Kerana jiwa mereka menderita. Mereka inginkan ketenangan, kedamaian sedangkan caranya salah. Mereka tidak akan kekal menikmati ketenangan dan kedamaian malah jiwa mereka akan terus kacau selagi mereka tidak kembali kepada hidayah Allah S.W.T dan meninggalkan perbuatan-perbuatan terkeji. Berbanding dengan orang beriman, dalam situasi apa pun, akan melihat adanya Allah S.W.T untuk bersandar. Seperti yang berlaku kepada Nabi Ibrahim dan keluarganya:

Maksudnya,

“Kalimat terakhir yang diucapkan Nabi Ibrahim AS ketika dilemparkan ke dalam api adalah,  ﺣﺴﺒﻨﺎ اﻟﻠﻪ ﻭﻧﻌﻢ اﻟﻮﻛﻴﻞ  ‘Hasbunallahu wa nikmal wakil’.” 

(HR Bukhari)

Dan bagaimana Hajar dan Nabi Ismail A.S yang masih menyusu, diperintahkan oleh Allah S.W.T, agar diletakkan di padang pasir Mekah, yang pada masa itu tanpa sebarang kehidupan, tumbuhan dan manusia dengan cuma berbekalkan sebekas kurma dan air. Sebelum ditinggalkan, Hajar bertanya kepada Nabi Ibrahim, “Wahai Ibrahim, engkau tinggalkan kami kepada siapa di sini? Nabi Ibrahim tidak menjawab dan terus pergi. Ditanya lagi dan juga tiada jawapan. Lalu Hajar mengubah pertanyaannya berlandaskan iman. “Apakah Allah yang memerintahkan kamu melakukan begini?” “ya” jawab Nabi Ibrahin AS. Lalu Hajar berkata, “kalau Allah yang memerintahkan, pasti Allah tidak akan mensia-siakan kami, berangkatlah engkau.” 

Inilah hebatnya Iman bila sudah tertanam di dalam diri seseorang. Hilang rasa kepentingan diri tetapi yang ada cuma, bersemangat mentaati perintah Allah S.W.T dalam apa jua keadaan. 

Subhanallah, Bagaimana pula Nabi Muhammad S.A.W telah berjaya mendidik para sahabat sehingga mereka semua bersedia berhadapan dengan kesusahan ujian, bersedia berkorban jiwa mahupun harta. Sebahagiaan antara kita ada yang mengatakan bahawa manusia itu mulia kerana hartanya, tidak!, tetapi manusia itu mulia kerana Imannya. 

Apa yang menyebabkan Bilal bin Rabah boleh bertahan, disiksa oleh Umayyah bin khalaf? Di bawah teriknya matahari di padang pasir di Kota Mekah, diarak, dibuli, diletakkan batu di atas dadanya di padang pasir di Kota Mekah dengan mengatakan “ahad” “ahad”. Dia merasakan lazatnya Iman sehingga dia tidak peduli dengan sakitnya penyiksaan yang dia rasakan. 

Tetapi kebanyakkan manusia di akhir zaman ini, imannya semakin lemah dan rapuh. Mereka lebih sering tergoda dengan indahnya nikmat dunia berbanding hebatnya nikmat di akhirat nanti. 

Di dalam al-Quran, banyaknya Allah S.W.T memanggil semua orang-orang berimanيَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا, untuk diberitahukan akan perintah-perintah Allah S.W.T kepadanya, memberikan maklumat kepadanya, untuk dibina dirinya, untuk diberikan ilmu pengetahuan kepadanya, untuk diangkat darjatnya, kerana ada orang mengatakan, “aku sudah beriman.” Sedangkan ianya tidak semudah hanya berkata-kata tetapi diam tidak bersemangat melaksanakan dan memperjuangkan setiap perintah Allah S.W.T. Bermakna Iman masih belum meresap ke dalam hatinya.

Contoh ayat-ayat tentang panggilan Allah S.W.T terhadap orang-orang beriman:

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, mahukah Aku tunjukkan kepadamu suatu perniagaan yang akan melepaskan kamu dari azab yang pedih. (Iaitu) kamu beriman kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya dan berjuang pada jalan Allah dengan harta dan dirimu. Itulah yang lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” 

(al-Shaf : 10-11)

Maksudnya,

“Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

(Al-Ḥajj : 77)

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “Taubat Nasuha”, mudah- mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir dibawahnya beberapa sungai” 

(Alt-Tahrim : 08)

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah S.W.T, dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah S.W.T, sesungguhnya Allah S.W.T Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah S.W.T, lalu Allah S.W.T menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik – derhaka.”

(al-Hasyr: 18-19)

Dari surah al-Hasyr ayat 18-19 di atas, seorang mukmin itu disuruh, berfikir tentang masa depannya di sana, bukan tentang masa tuanya, masa pencennya tetapi memikirkan hari perhitungan di sana nanti, bagaimana nasibnya akan ditentukan di Mahsyar kelak. Jadi seorang mukmin akan terkesan dengan pertanyaan Allah S.W.T diatas, apa yang kalian persiapkan untuk hari esok? Di sana satu hari umpama seribu tahun di sini, sedangkan kita baru 70 tahun di dunia sudah dirasakan letih, Lelah dan sudah tidak berdaya. 

Apa yang kita lihat di sekeliling kita, satu hari nanti semuanya akan hancur, jadi apa yang telah kita persiapkan untuk menghadapinya. Jangan pernah benarkan hal-hal dunia melupakan kita daripada Allah S.W.T. Di saat kita lupa kepada Allah S.W.T, Allah S.W.T akan menjadikan kita lupa kepada diri kita sendiri, siapa kita dan apa tujuan kita dihidupkan di dunia ini.

Jadi setiap kita kena bersungguh-sungguh berusaha membina keimanan di dalam diri. Dunia ini cuma sebentar. Jadi jangan pernah benarkan diri, dilalaikan dan ditipu daya oleh dunia tanpa sempadan sekarang ini. Dunia yang sudah berada di hujung jari. Berhati-hatilah.

Ketika Rasullulah S.A.W melalui tempat keluarga Yassir disiksa, dalam keadaan diikat kedua tangan dan kaki mereka sedangkan di waktu itu, Rasulullah S.A.W tidak mampu membela mereka. Beliau hanya mampu menanamkan keimanan di jiwa mereka. Iman akan mampu menjadikan musibah atau ujian ini dirasakan kecil. Lalu Baginda S.A.W bersabda:

Maksudnya:

“Sabarlah wahai keluarga Yassir, sesungguhnya yang dijanjikan bagi kalian adalah Syurga.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (5646). Riwayat ini dinilai sahih berdasarkan Sahih al-Sirah (hlm. 154) dan Hasan Sahih dalam Fiqh al-Sirah (hlm. 103)

Kenapa harus bersabar dan impaknya kalau bersabar sehingga Rasulullah S.A.W mengatakan tempat orang-orang yang bersabar, di Syurga. Hakikatnya, dengan bersabar mereka dapat mempertahankan keimanan mereka ketika disiksa kerana mereka ingin mengejar balasan Syurga Allah S.W.T. Lihatlah, impaknya terhadap keluarga Yassir, di mana beliau telah syahid. Abu jahal pula telah menikam Sumayyah pada kemaluannya sehingga beliau juga syahid. Sumayyah merupakan wanita pertama yang syahid dalam Islam dan penyiksaan terhadap anaknya Ammar diperhebatkan lagi.

Ingatlah semua…

Berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Dunia merupakan penjara bagi orang yang beriman dan Syurga bagi orang yang kafir.”

(Riwayat Muslim (2956), al-Tirmizi (2324), Ibn Majah (4113) dan Ahmad (8289))

Semakin kuat Iman kalian semakin kukuh dinding-dinding penjara itu dan semakin tinggi Iman kalian, semakin tinggi pula tembok-tembok penjara itu. Tetapi dengannya, semakin kuat mujahadah dan semangat kalian menghadapi dunia ini.

Maksud firman Allah S.W.T:

“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan Iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat ketenangan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

(Al-An’am: 82)

Seandainya, simpulan akidah kita kukuh dan kuat, hidup akan penuh dengan ketenangan dan kebahagiaan. Ketika musibah dan ujian menimpa, simpulan akidah itu tidak akan putus dan mereka sentiasa merasa hidup bersama Allah S.W.T dan merasakan muraqabah Allah S.W.T.

Maksud firman Allah S.W.T:

“Dan barangsiapa yang ingkar kepada taghut dan beriman kepada Allah S.W.T, maka sesungguhnya dia telah memegang tali yang amat kuat dan tidak akan putus.” 

(al-Baqarah : 256)

Nabi S.A.W telah mengutus 70 al-Qurra untuk berdakwah kepada penduduk Najd. Ketika tiba di Bi’r Ma’unah, para sahabat telah mengutus pemegang amanah membawa surat Rasulullah S.A.W, Haram bin Milhan kepada Amir bin Thufail. Haram menyerahkan surat Rasulullah S.A.W tersebut. Dugaan Haram ternyata benar iaitu Amir menerimanya dengan sombong, surat itu tidak dibuka apalagi membacanya. 

Bahkan, Amir memerintahkan kaumnya untuk melemparkan tombak ke tubuh Haram dari belakang, hingga tembus ke dadanya sehingga darah memancut deras dari luka tersebut. Haram langsung berkata dengan penuh semangat, “Allahu Akbar, Demi Tuhan Pemelihara Kaabah, aku telah menang,” Amir jadi kebingungan mendengar kata-kata itu. Itulah hebatnya Iman orang-orang yang di hatinya hanya ada Allah S.W.T dan Rasul S.A.W. 

Maksud firman Allah S.W.T:

“Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”

(Al-Baqarah :155)

Apa bentuk ujian atau bala’ dari ayat di atas? Rasa takut, takut miskin, takut dengan penyakit, takut dengan masa depan, tetapi semua kita kena ingat akan pesanan Allah S.W.T ini:

Maksudnya: 

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah S.W.T. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”

(Ali ‘Imran : 110)

Kita juga akan diuji dengan kelaparan, maksudnya diuji dengan kesusahan dan kemiskinan. Mereka mampu menghadapinya dan malah bila di tanya, mereka akan mengatakan, “jangan jauhkan aku daripada Tuhanku.” Dan ada juga yang diuji dengan kematian orang-orang tersayangnya, kehilangan harta, mereka akan mengatakan, “إِنَّا ِلِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

 “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah S.W.T dan kepada-Nya kami Kembali.”

Sabda baginda Rasulullah S.A.W didalam sebuah hadis. Daripada Syuhaibin telah berkata, telah bersabda baginda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Sungguh ajaib urusan orang mukmin, semua urusannya adalah baik, dan tidak ada seperti itu melainkan mukmin sahaja. Jika ditimpa kesenangan ia akan bersyukur, maka itu baik baginya. Jika ditimpa kesusahan pula ia bersabar maka itu baik juga untuknya.”

(HR Muslim:2999)

Di samping itu, syaitan sentiasa berbisik-bisik agar tergoncang Iman dan bergegar pendirian mereka sebagaimana bisikan syaitan terhadap nabi Adam A.S. Syaitan merupakan musuh terbesar umat manusia. Syaitan masuk ke dalam hati setiap orang, tanpa mengira, adakah dia seorang mukmin atau pun kafir. Syaitan terus melakukan upaya untuk membawa hasutan, keburukan dan kejahatan ke dalam dada manusia. Syaitan akan menyerang manusia dari segala arah, sehingga manusia tak berdaya dan menjadi kufur kepada Allah S.W.T. 

Maksud firman Allah S.W.T:

”Kemudian Iblis/Syaitan akan mendatangi mereka (manusia) dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur/taat.” 

(Al-A’raaf: 17).

Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud:

“Ia (Iblis) berkata, “Tuhanku, oleh karena Engkau telah memutuskan bahwa aku sesat, aku pasti akan jadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang terpilih di antara mereka. Dia (Allah S.W.T) berfirman, “Ini adalah jalan yang lurus (menuju) kepada-Ku”. Sesungguhnya kamu (Iblis) tidak kuasa atas hamba-hamba-Ku, kecuali mereka yang mengikutimu, yaitu orang yang sesat.” 

(Al Hijr: 39-42). 

Ada banayak cara yang dilakukan Syaitan dalam mengoda, merayu dan menyesatkan manusia, antaranya: misalnya ketika seseorang mendengar azan pada malam hari, Syaitan berbisik agar santai-santai dahulu, malam masih panjang. Dan jika seseorang ingin mendapatkan pinjaman berasas bunga/riba dari bank untuk membeli rumah dan sebagainya, maka Syaitan berbisik, ‘ambil jer, kalau tidak sampai bila-bila kamu tidak akan dapat beli rumah, kereta dan apa-apa sahaja, kamu bukan orang jahat.’  

Syaitan juga berusaha keras menghasut agar menunda-nunda bertaubat dengan mengatakan gunakan masa muda yang terindah ini, taubat boleh dilakukan di masa tua. Dia menjadikan manusia tinggi angan-angan, mendorong manusia takut akan kemiskinan, kemudian dia menghasut manusia untuk dapatkan kekayaan dengan jalan yang haram dan macam-macam lagi.

Jadi, setiap kita jangan rasa diri hebat dan suci tetapi sandarkanlah setiap permasalahan dalam kehidupan kita kepada Allah S.W.T dan mentaati-Nya, sama ada yang baik ataupun yang buruk, yang kecil mahupun yang besar. Dan jangan jadi orang yang lemah dan berasa tidak mampu berhadapan ujian dan musibah dalam kehidupan. Bersabar dan sentiasa bersemangat untuk meminta pertolongan kepada Allah S.W.T, agar setiap sesuatu yang sulit menjadi mudah.

Dan seorang mukmin itu, mesti sungguh-sungguh berusaha agar tidak menjadi orang yang lemah. 

Firman Allah S.W.T bermaksud: 

“Dan janganlah kamu rasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu) padahal kamulah orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang yang sungguh-sungguh beriman.” 

(Ali Imran : 139)

Semua ujian yang kita hadapi hari ini pastinya berlaku atas keizinan Allah S.W.T dan sebagai hamba yang menzahirkan keimanan, pasti perlu sentiasa bersangka baik dengan setiap ujian yang mendatang. Sesungguhnya hanya kepada Allah S.W.T jualah kita meletakkan pengharapan dan berdoa.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Kemudian jika mereka berpaling ingkar, katakanlah (wahai Muhammad): “Cukuplah bagiku Allah S.W.T (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri dan Dia yang mempunyai Arasy yang besar.”

(At Taubah : 129)

Kesimpulan:

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; “Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: 

“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah S.W.T daripada Mukmin yang lemah. Pada masing-masing memang terdapat kebaikan. Bersemangatlah melakukan hal yang bermanfaat untukmu dan meminta tolonglah pada Allah, serta janganlah engkau malas (menjadi orang yang lemah). Apabila kamu tertimpa suatu kemalangan, maka janganlah kamu mengatakan; ‘Seandainya tadi aku berbuat begini dan begitu, nescaya tidak akan menjadi begini dan begitu’. Tetapi katakanlah; ‘lni sudah takdir Allah dan apa yang dikehendaki-Nya pasti akan dilaksanakan-Nya.Dan jauhilah olehmu dari ucapan ‘Seandainya’ (kalau), kerana sesungguhnya ungkapan ‘Seandainya’ (kalau) membuka peluang masuknya syaitan.” 

(HR Muslim No: 4816 – Status Hadis: Sahih)

Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah S.W.T daripada mukmin yang lemah kerana dia mampu dengan penuh sabar dan bersemangat  melaksanakan kewajiban dan menyempurnakan tanggungjawabnya. Mukmin yang lemah, yang tidak melaksanakan kewajiban dan enggan meninggalkan yang haram, orang seperti inilah yang memiliki kekurangan dan tidak disukai Allah S.W.T.

Rasulullah S.A.W memerintahkan agar sentiasa bersabar dan bersemangat dalam melakukan hal-hal yang bermanfaat dalam perkara yang berkaitan dengan agama dan dunia untuk menjadi mukmin yang lebih baik dan lebih dicintai Allah S.W.T. Di Ketika berhadapan dengan sesuatu perkara yang tidak disukai, redalah dan berdamailah di atas setiap ketetapan takdir dengan hati yang tenang sehingga bertambahlah imannya.

Jauhilah berkata “kalau” atau “seandainya” kerana ia akan membuka ruang dan peluang kepada bisikan Syaitan dan akan menjadikan kita hilang semangat dan lemah. Jangan pernah kenal erti putus asa dari Rahmat Allah S.W.T. 

Akhirnya, semoga Allah S.W.T menjadikan kita dalam kalangan orang yang cintakan ilmu serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini. Di samping itu, agar Allah S.W.T menjadikan kita di kalangan hamba-Nya yang kuat Imannya dan bahagia di dunia dan juga di Akhirat serta sentiasa sabar dan bersemangat memperjuangkan kebenaran dalam diri dan dunia luar. Aamiin.

Wallahua’lam.

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 9/8/2024

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top