Azeem (kanan) bersama Amir yang mencungkil bakatnya untuk menjadi pelari pecut. Foto Agensi
PELARI sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi berpotensi untuk lebih menyerlah menerusi catatan masa larian yang lebih baik dalam acara pecut pada masa akan datang.
Keyakinan tersebut diluahkan oleh jurulatih pecut, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah yang percaya anak buahnya itu mampu melakukan catatan di bawah 10 saat (s) dalam acara 100 meter (m).
Beliau berkata, atlet berusia 20 tahun itu berada di landasan tepat untuk berbuat demikian sambil diadun dengan tahap fizikal dan mental yang mantap, selain perlu memastikan bebas daripada sebarang kecederaan.
“Saya mengharapkan Azeem tidak terlalu teruja dan gopoh dalam usahanya untuk mencatat masa di bawah 10s. Dia perlu diberi peluang, masa pada diri sendiri, sabar dan fokus dengan setiap kejohanan yang disertai.
“Penjagaan kesihatan dan nutrisi pemakanan juga perlu dijaga dengan baik.
“Insya-ALLAH Azeem akan buat catatan masa bawah 10s. Hanya menunggu masa dan ketika yang sesuai serta dengan izin ALLAH,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Azeem pada Ahad sekali lagi membaharui rekod kebangsaan acara 60m Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC 2025 di Texas, Amerika Syarikat (AS).
Anak jati Perak yang mewakili Universiti Auburn itu mencatatkan 6.56s untuk berada di tempat ketiga pada aksi final acara 60m di Bryan-College Station.
Muhammad Amir juga berharap para peminat dapat memahami bahawa bukan setiap kejohanan para atlet dapat membuat catatan masa yang baik.
Ini kerana katanya, apa yang lebih penting ialah fokus kepada catatan masa yg konsisten serta mengekalkan konsistensi pecutan sehingga musim luar dewan.
“Kita sentiasa mengharapkan prestasi meningkat dari semasa ke semasa, namun dalam keterujaan dengan rekod yang baik kita juga perlu memahami bahawa bukan setiap kejohanan akan dapat membuat catatan masa yg baik,” katanya.
Catatan tersebut menyaksikan Azeem memecahkan rekod kebangsaan miliknya iaitu 6.60s dalam acara sama yang dilakukan pada Kejohanan Jemputan Tiger Paw di California pada Februari lalu.