Sabri tidak lagi bersama skuad Penyu

Sabri tidak lagi bersama skuad Penyu


Status dimuat naik Terengganu FC baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU – Gergasi Liga Super Pantai Timur, Terengganu FC mengumumkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Sabri Abas, yang telah dilantik untuk menggalas tanggungjawab baharu sebagai Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun, berkuat kuasa pada 4 Mei lalu.

Pengumuman rasmi yang dimuat naik di platform media sosial kelab itu turut merakamkan penghargaan setinggi-tingginya atas segala jasa, sumbangan dan komitmen yang telah dicurahkan oleh Mohd Sabri sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama skuad Penyu.

“Beliau sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya dalam setiap cabaran yang dihadapi, dengan semangat dan dedikasi tinggi demi memastikan kelab ini terus melangkah maju,” menurut kenyataan rasmi Terengganu FC.

Terengganu sebelum ini menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan kelima dalam kalangan 13 pasukan dengan 35 mata, hasil sembilan kemenangan, lapan seri dan tujuh kekalahan selepas mengharungi 24 perlawanan.

Kelab Pantai Timur itu turut mengucapkan tahniah atas pelantikan baharu Mohd Sabri serta mendoakan agar beliau terus meraih kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.

“Jasa dan pengorbanan beliau sepanjang bersama Terengganu FC akan sentiasa dikenang oleh seluruh keluarga kelab dan para penyokong setia,” kata kenyataan itu lagi.

Sebagai rekod, Terengganu kini dikendalikan oleh pengendali sementara, Badrul Afzan Razali yang mengambil alih peranan daripada Tomislav Steinbruckner selepas ketua jurulatih dari Croatia itu dan kelab berpisah atas persetujuan bersama, susulan kekalahan 0-1 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super pada Oktober lalu.



Source link

OR

Scroll to Top