Saddam dan anaknya, Syahid tekad gegar Spartan Malaysia 2025.
ATLET sukan berhalangan negara, Mohd Saddam Mohd Pittli bakal menghangatkan Spartan Malaysia 2025 di Gamuda Cove pada 18 dan 19 Oktober ini.
Lebih menarik, pemenang pingat perak dan gangsa Sukan SEA 2019 itu akan ditemani anak lelakinya, Syahid Al Zahran, 9 tahun, yang tampil dalam saingan peringkat junior.
Dua beranak daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu akan menyertai lebih 3,000 peserta dari 19 negara, sekali gus menonjolkan cabaran antarabangsa Spartan serta memperkukuh kedudukan Selangor sebagai destinasi acara ketahanan diri bertaraf dunia.
“Amat istimewa dapat bersaing di laman sendiri. Setelah merasai pentas Sukan SEA, saya tahu betapa bermaknanya membawa bendera Malaysia. Lebih bermakna apabila anak saya turut berada dalam saingan ini. Spartan bukan sekadar persaingan tetapi tentang membina ketahanan bersama,” kata atlet berusia 34 tahun berkenaan.
Sementara itu, Syahid pula meluahkan keterujaannya apabila dapat menyahut cabaran pada kali ini.
“Saya pernah sertai Spartan Kids sebelum ini dan berlatih dengan ayah. Dia selalu ingatkan bahawa Spartan tiada istilah menyerah kalah.
“Saya tidak sabar untuk uji diri dan buktikan kanak-kanak juga boleh jadi Spartan yang kuat,” katanya.
Dalam kejohanan itu, peserta perlu menamatkan tiga perlumbaan utama Sprint (5km, 20 halangan), Super (10km, 25 halangan) dan Beast (21km, 30 halangan) untuk meraih pingat Trifecta.
Edisi kali ini turut membawa dimensi baharu apabila dianjurkan bersama Score dan Runrio Thailand, menawarkan cabaran lebih mencabar serta menjadi pentas penting menjelang Siri Spartan Asia Tenggara yang merangkumi Malaysia, Thailand dan Singapura pada 2026.
“Kami berbangga menyambut era baharu Spartan Malaysia bersama Runrio Thailand. Membawa cabaran Trifecta ke Selangor satu pencapaian besar, dan sambutan lebih 3,000 peserta membuktikan komuniti ini terus berkembang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Score Sports Management, Patricia Tan.
Ringkasan AI
- Atlet sukan berhalangan negara, Mohd Saddam Mohd Pittli akan bertanding di Spartan Malaysia 2025 bersama anaknya
- Mohd Saddam merupakan pemenang pingat perak dan gangsa Sukan SEA 2019
- Lebih 3,000 peserta dari 19 negara akan menyertai acara ini di Gamuda Cove
- Acara ini termasuk tiga perlumbaan utama yaitu Sprint, Super dan Beast
- Edisi ini dianjurkan bersama Score dan Runrio Thailand, menawarkan cabaran untuk Siri Spartan Asia Tenggara 2026