Kuala Lumpur: Jaguh perlumbaan berhalangan, Saddam Pittli bakal mengetuai cabaran negara pada Spartan Malaysia 2025 yang akan berlangsung di Gamuda Cove, 18 dan 19 Oktober ini.
Lebih istimewa, atlet berusia 34 tahun itu tidak bersendirian apabila turun bersama anaknya, Syahid Al Zahran, 9, yang akan beraksi dalam kategori Spartan Kids, sekali gus mencetuskan kisah inspirasi bapa dan anak berkongsi trek yang sama.
“Kali ini lebih bermakna kerana saya bukan sahaja membawa cabaran negara, tetapi juga berkongsi trek dengan Syahid. Spartan bukan sekadar persaingan, tetapi tentang membina ketahanan diri dan keluarga,” kata pemenang pingat Sukan SEA itu.
Saddam bukan calang-calang peserta apabila sudah menyempurnakan 32 perlumbaan Spartan sejauh hampir 300 kilometer, selain meraih dua kali Trifecta, pencapaian yang menuntut disiplin dan konsistensi tinggi.
“Spartan ajar kita untuk bangkit setiap kali jatuh. Itu juga nilai yang saya mahu Syahid dan semua peserta pelajari,” katanya yang turut yakin acara kali ini akan menguji ketahanan fizikal dan mental semua peserta.
Syahid yang sudah beraksi dalam kategori kanak-kanak sebelum ini pula tidak sabar untuk kembali mencabar diri.
“Ayah selalu ingatkan saya bahawa Spartan adalah mengenai tidak pernah menyerah kalah. Saya teruja untuk cuba sekali lagi, katanya.
Spartan Malaysia 2025 kali ini tampil dengan status Trifecta Weekend Kuala Lumpur, memberi peluang peserta menyempurnakan tiga kategori utama iaitu Sprint (5km/20 halangan), Super (10km/25 halangan) dan Beast (21km/30 halangan) dalam satu hujung minggu untuk meraih pingat Trifecta.
Acara edisi kali ini juga hadir dengan reka bentuk trek baharu selain halangan ikonik Spartan seperti Spear Throw, Hercules Hoist dan Rope Climb.
Penganjuran 2025 menjadi tanda aras baharu hasil kerjasama SCORE dan RUNRIO Thailand, dengan matlamat memperkukuh mutu acara serta membuka jalan ke arah Siri Serantau Malaysia–Thailand–Singapura 2026.
Selain Saddam dan Syahid, Spartan Malaysia 2025 turut membariskan duta termasuk Jayakumar Tharmalingam, Muhamad Azhari Hassan, Shum Chiew Mun, Malcolm Wu Han, Muhammad Haidharul Irfan Abdul Halim, Jayden Tian, Collin Poh Chun Khwan, Amir Yazman Abdul Rahman, Noor Azlan Zolkifli, Daryl Cheah Chien Loong, Penny Hee Ching Ching, Aryzeadora Rahim De Luz, Tan Geok Choo, Nur Aryan Asyraf Iskandarshah Jahan dan Dr Suffian Sani Sayuti.
© New Straits Times Press (M) Bhd