27 Jun 2025 03:29pm
Masa membaca: 4 minit
Safee Sali umum letak jawatan sebagai Presiden PFAM. Foto Bernama
BEKAS penyerang kebangsaan Safee Sali mengumumkan peletakan jawatan selaku Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).
Safee dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan bukan mudah untuk beliau membuat keputusan itu, namun percaya ini masa yang tepat bagi memberi peluang kepada generasi muda mengambil alih peranan serta memimpin persatuan ke era baharu.
“Sudah tiba masanya untuk saya berundur dan memberi peluang kepada generasi muda memimpin. Saya yakin memperkenalkan perspektif baharu dan idea-idea inovatif penting untuk pembangunan bola sepak secara global.
“Satu penghormatan dapat berkhidmat dalam jawatan ini dan saya bangga dengan segala pencapaian yang telah kita raih bersama sepanjang tempoh perkhidmatan saya. Tanggungjawab saya sebagai presiden PFAM sudah selesai setakat ini sejak 2019 hingga hari ini,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Instagram.
Safee berkata, beliau yakin bakal pemimpin persatuan itu akan membawa semangat baharu atas kecintaan mereka terhadap sukan itu dan beliau menantikan perubahan positif yang akan mereka lakukan demi kemajuan sukan terbabit. – Bernama