Kalau nak bola sepak Malaysia bangkit semula, kita kena mula dari bawah. Itu pendirian jelas bekas penyerang sensasi Harimau Malaya, Safee Sali, yang menegaskan sudah tiba masanya negara memberi fokus sepenuhnya kepada pembangunan bola sepak akar umbi.
Menurut Safee, keputusan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Disiplin FIFA perlu diterima dengan hati terbuka demi masa depan bola sepak negara.

“Keputusan daripada FIFA telah dibuat. Kita harus terima hukuman yang dikenakan. Perkara paling penting sekarang ialah meningkatkan kualiti program akar umbi, seperti yang saya sendiri sedang usahakan ketika ini,” katanya.
Tambah Safee, usaha di peringkat awal amat penting untuk mematangkan bakat muda supaya mereka lebih bersedia menghadapi cabaran di peringkat lebih tinggi.
“Ia adalah usaha untuk mematangkan permainan bakat muda di peringkat awal,” jelasnya lagi.
Dalam masa sama, Safee turut mengingatkan semua pihak agar kesilapan lalu tidak berulang, apatah lagi selepas Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, gagal mengenal pasti individu utama yang terlibat dalam isu pemalsuan dokumen.
Buat masa ini, harapan Malaysia dalam kempen kelayakan Piala Asia bergantung kepada keputusan perlawanan terakhir yang diharapkan memihak kepada skuad negara.
“Melihat ke hadapan, kita harus elakkan daripada melakukan perkara yang sama. Langkah demi langkah, keadaan akan jadi lebih baik. Saya percaya sokongan tetap perlu diberikan kepada Harimau Malaya kerana merekalah wakil Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.
Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman tiga perlawanan antarabangsa Tier 1 Harimau Malaya diisytiharkan kalah 3-0, membabitkan perlawanan persahabatan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin.
Superkids Cup 2025: Bola Sepak + Karnival Keluarga
Selari dengan seruannya memperkasa bola sepak akar umbi, Safee meneruskan komitmen tersebut menerusi penganjuran MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2025, yang bakal berlangsung pada 27 Disember 2025 di Stadium MPAJ, Pandan Perdana.
Kejohanan ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan Super Safee Serenia Cup dan menampilkan konsep pertandingan bola sepak kanak-kanak dalam suasana karnival yang santai, meriah dan mesra keluarga.
Safee yang juga pengasas Super Safee Soccer School di beberapa lokasi seluruh negara berkata, kejohanan ini bukan sekadar soal menang atau kalah.

“MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2025 direka sebagai platform untuk kanak-kanak bersaing, belajar, menikmati bola sepak dan merasai suasana karnival sebenar bersama keluarga. Ia kesinambungan kepada apa yang kami bina sebelum ini – ruang untuk kanak-kanak bina keyakinan sambil berseronok,” katanya.
Kejohanan ini mempertandingkan empat kategori umur:
1) Bawah 8 tahun – 5 lawan 5 (maksimum 10 pemain)
2) Bawah 10 tahun – 7 lawan 7 (maksimum 12 pemain)
3) Bawah 12 tahun – 9 lawan 9 (maksimum 14 pemain)
4) Bawah 14 tahun – 9 lawan 9 (maksimum 15 pemain)
Hanya lapan pasukan dibenarkan bagi setiap kategori bagi memastikan suasana persaingan kekal kompetitif tetapi menyeronokkan. Para peserta bakal merebut piala, pingat, anugerah MVP serta baucar wang tunai.
Acara ini turut mendapat sokongan penaja utama MommyHana. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Farid Mohamed Sangido, berkata pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Safee dalam menjayakan kejohanan tersebut.
“Kanak-kanak adalah nadi kepada apa yang kami lakukan. Kejohanan ini selari dengan misi kami untuk memberi inspirasi kepada generasi muda, menyemai keyakinan, semangat berpasukan dan kegembiraan melalui sukan,” katanya.
Sebagai jenama yang menekankan pembangunan kanak-kanak secara holistik merangkumi akademik, kesihatan fizikal, kesejahteraan emosi dan nilai intelektual berteraskan Islam, MommyHana melihat sukan sebagai platform penting dalam pembentukan sahsiah dan kemahiran hidup.
Gabungan bola sepak, aktiviti mesra keluarga dan penglibatan komuniti ini diharap dapat menjadikan MommyHana Safee Sali Superkids Cup sebagai acara tahunan dalam kalendar bola sepak belia negara – satu langkah kecil dari akar umbi, untuk impian besar bola sepak Malaysia.






