JDT mengucapkan terima kasih kepada pemain-pemain berkenaan atas komitmen penuh mereka kepada Harimau Selatan. Foto FB Johor Southern Tigers
SETELAH lebih sedekad menabur bakti bersama skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), pemain veteran, Safiq Rahim, Izham Tarmizi dan Farizal Marlias akhirnya meninggalkan skuad Harimau Selatan itu.
Perkara tersebut diumumkan menerusi laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers (JST), pada Selasa.
Selain trio berpengalaman tersebut, beberapa pemain seperti Jordi Amat, Jese Rodriguez, Murilo Henrique, Jonathan Viera, Álvaro Gonzalez, Roque Mesa, Anselmo de Moraes dan Ramadhan Saifullah turut meninggalkan kelab juara Liga Super 11 musim berturut-turut itu.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin mengucapkan terima kasih kepada pemain-pemain berikut atas komitmen penuh mereka kepada Harimau Selatan, selama ini.
“Kami mengucapkan selamat maju jaya pada masa hadapan dan anda akan sentiasa dikenang sebagai sebahagian daripada Keluarga JDT. Luaskan Kuasamu Johor,” menurut hantaran tersebut.
Sementara itu setakat ini, JDT telah menandatangani tiga pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia musim 2025-2026.
Tiga pemain yang dimaksudkan melibatkan seorang pemain tempatan, Ibrahim Manusi dan dua pemain import iaitu Jairo Da Silva dan Antonio Glauder.