Konflik rumah tangga pelakon Kamal Adli bersama isterinya, Uqasha Senrose akhirnya menemui titik noktah apabila pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah, pada Isnin.
Perkara itu sekali gus menamatkan spekulasi dan teka-teki yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu, selepas kedua-duanya dilihat saling berbalas kenyataan di media sosial.
Bagaimanapun, Kamal atau nama penuhnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, mengakui perpisahan itu memberi kesan besar terhadap emosinya apabila dia seakan-akan meluahkan rasa hatinya dengan menulis kapsyen ringkas di Instagram miliknya dengan perkataan, Hancur.
Meskipun pelakon filem Conquer: Lahad Datu tidak mengulas dengan lebih lanjut, rata-rata rakan artis dan peminat tampil menitipkan doa agar Kamal kuat mengahrungi kehidupannya kelak.




Terdahulu, Kamal Adli dan Uqasha Senrose sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada jam 12.56 tengah hari.
Lafaz cerai dibuat oleh Kamal di hadapan Hakim Syarie Siti Noraini Mohd Ali selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Uqasha mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Sekadar info, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 1 tahun 8 bulan.
Bagaimanapun, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober tahun lalu, sekali gus menamatkan ikatan yang dibina hampir tiga tahun.





