Saifuddin puji sikap 3 penyampai radio EraFM mohon maaf

Saifuddin puji sikap 3 penyampai radio EraFM mohon maaf



am@hmetro.com.my

Putrajaya: Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail memuji tindakan tiga penyampai radio EraFM yang memohon maaf susulan isu mempersenda agama Hindu, baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, dari segi undang-undang mereka tetap akan disiasat.

Menurutnya, sudah menjadi tanggungjawab polis untuk menyiasat kes itu memandangkan laporan sudah dibuat.

“Memohon maaf itu satu perkara yang baik kerana mereka menyedari perbuatan itu tidak sepatutnya dilakukan tetapi proses undang-undang mesti bermula dengan setiap aduan perlu disiasat.

“Soalnya ‘damage is done’ dan kesan dia adalah mereka yang tersinggung atau terasa,” katanya ketika hadir pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama warga KDN di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Dr Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada polis akan mengambil tindakan walaupun trio berkenaan sudah membuat permohonan maaf.

Saifuddin berkata, dalam konteks hubungan kaum, kepelbagaian agama dan budaya di negara ini, insiden itu memberi satu pengajaran supaya setiap rakyat di negara ini sentiasa sensitif dengan agama lain.

“Kita kena bersikap begitu barulah hidup dalam rukun damai. Dalam kes ini, biarlah proses (siasatan) mengambil tempatnya,” katanya.

Sebelum ini, tiga penyampai radio Era, Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jazmin membuat permohonan maaf dengan pihak kuil di Batu Caves susulan insiden yang didakwa mempersenda perayaan Thaipusam.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top