Saifuddin sahkan dipanggil Lembaga Disiplin BERSATU

Saifuddin sahkan dipanggil Lembaga Disiplin BERSATU


yusri.muzamir@bh.com.my

Kuala Lumpur: Selepas tiga ketua bahagian, Lembaga Disiplin BERSATU memanggil seorang lagi pemimpin parti itu, dipercayai untuk menjalani prosiding berkaitan gesaan ke atas Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkembangan disahkan bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang merangkap Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, malam ini.

“Kira-kira jam 1.52 petang tadi, saya menerima notis untuk menghadiri sesi perjumpaan bersama Ahli Jawatankuasa Lembaga Disiplin di Ibu Pejabat BERSATU di Petaling Jaya, pada jam 4.30 petang, Khamis ini.

“Namun, saya meminta sesi berkenaan diawalkan kerana ada program di luar Kuala Lumpur yang perlu dihadiri di sebelah malam pada tarikh berkenaan.

“LD bersetuju (permintaan untuk meminda masa sesi berkenaan), jadi masa baharu ialah jam 2 petang,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Ketua Bahagian BERSATU Pendang merangkap Ahli Dewan Undangan Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis; Datuk Mohd Suhaimi Ghazali (Sepang) dan Mohd Shukor Mustafa (Puchong) dipanggil Lembaga Disiplin.

Mereka dipercayai antara 120 ketua bahagian BERSATU yang menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menggesa Muhyiddin berundur dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Bulan lalu, BERSATU memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, selain menggantung keanggotaan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, selama satu penggal.

Kedudukan Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal sebagai Ahli Parlimen bagaimanapun tidak terjejas, memandangkan pemecatan keahlian dalam mana-mana parti tidak tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan, khususnya undang-undang bertukar parti.

Selain itu, lembaga disiplin itu memaklumkan tindakan pemecatan keahlian turut dikenakan ke atas empat lagi ketua bahagian parti, iaitu Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) serta Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top