Saingan sengit rebut gelaran atlet terbaik anugerah SAM

Saingan sengit rebut gelaran atlet terbaik anugerah SAM


Memimpin senarai lima calon utama ialah beregu badminton lelaki nombor dua negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024. Foto Agensi

PEREBUTAN gelaran Atlet Terbaik Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2024 bakal menyaksikan saingan sengit apabila menghimpunkan barisan jaguh dunia serta Olimpian yang mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Memimpin senarai lima calon utama ialah beregu badminton lelaki nombor dua negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024.

Li Jane meraih kejuaraan Terbuka Wanita AS pada tahun lalu.

Li Jane meraih kejuaraan Terbuka Wanita AS pada tahun lalu.

Pasangan yang berstatus kedua dunia itu bakal dicabar oleh jaguh boling wanita, Sin Li Jane susulan kejayaannya meraih kejuaraan Terbuka Wanita Amerika Syarikat (AS) 2024.

Turut tersenarai ialah atlet boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah yang dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 Mei lepas.

Nor Farah Ain dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2024 Mei lepas. Foto Agensi

Nor Farah Ain dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2024 Mei lepas. Foto Agensi

Dua lagi calon ialah pelari menara, Soh Wai Ching dan jaguh wushu wanita negara, Tan Cheong Min.

Bagi Anugerah Atlet Para Terbaik 2024 menyaksikan saingan sengit antara dua nama besar iaitu Cheah Liek Hou (para badminton) dan Bonnie Bunyau Gustin (para powerlifting) yang masing-masing memburu trofi ketiga sejak kategori itu diperkenalkan pada 2016.

Turut tersenarai bagi kategori sama ialah Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) dan Eddy Bernard (lari pecut T44).

Presiden SAM Norismadi Abd Manap berkata, pemenang bagi dua kategori utama itu akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi pada majlis yang dijadual berlangsung di sebuah hotel pada 14 Julai ini.

“Anugerah SAM-100PLUS 2024 turut menghargai sumbangan wartawan sukan menerusi penyampaian anugerah bagi enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik) dan Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak),

“Kategori lain ialah Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik,” katanya pada sidang media di Bukit Jalil pada Selasa.

Beliau berkata, kepimpinan SAM turut sebulat suara bersetuju menaikkan jumlah hadiah wang tunai bagi anugerah utama wartawan sukan, iaitu Anugerah Siebel kepada RM10,000 berbanding RM7,000 sebelum ini.

“Hadiah wang tunai bagi kategori Pengulas Sukan Popular turut dinaikkan kepada RM3,000 berbanding RM2,000,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top