Saka bersedia gegar Real Madrid

Saka bersedia gegar Real Madrid


PEMAIN sayap Arsenal, Bukayo Saka percaya rehat terpaksa akibat kecederaan memberi manfaat kepadanya ketika gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) bersiap sedia menghadapi penyandang juara Real Madrid di suku akhir pertama Liga Juara-Juara Di Stadium Emirates pada Rabu.

Saka muncul sebagai pemain yang paling sukar digantikan dalam skuad Mikel Arteta dan walaupun kembalinya daripada kecederaan hamstring serius mungkin terlalu lewat untuk menyelamatkan harapan Arsenal dalam perebutan kejuaraan liga, dengan kejayaan di Eropah adalah matlamat yang realistik ketika ini.

“Saya fikir dari segi mental ia sangat baik untuk saya.

“Pada mulanya sangat sukar untuk saya mengetahui sejauh mana tahap kecederaan yang menyebabkan saya akan menjalani pembedahan,

“Tetapi sebaik sahaja selesai, dan mempunyai banyak masa, saya hanya fokus untuk kembali lebih kuat,” kata Saka pemain berusia 23 tahun, yang direhatkan lebih tiga bulan selepas mengalami kecederaan sebelum Krismas lalu.

Saka juga terlepas dua perlawanan pembukaan kelayakan Piala Dunia England bulan lalu bersama England tetapi menjaringkan gol untuk Arsenal ketika menjinakkan Fulham minggu lalu.

Saka percaya dia berada pada prestasi terbaiknya dan kecergasannya yang relatif akan memberikannya kelebihan berbanding gergasi La Liga Sepanyol itu.

“Sejak lima tahun lalu saya bermain perlawanan demi perlawanan jadi sesi pemulihan sebenarnya adalah rehat pertama yang saya dapat.

“Ia sangat baik untuk saya. Saya dapat melakukan banyak perkara yang biasanya tidak dapat lakukan. Sangat menyenangkan untuk kembali dan saya berasa segar dari segi mental.

“Saya hanya fokus sekarang pada perkara positif,” katanya.

Kepentingan Saka kepada Arsenal dijelmakan statistiknya musim ini – 10 gol dan 14 bantuan dalam 26 perlawanan dalam semua pertandingan, termasuk empat gol dalam Liga Juara-Juara.

Sebagai rekod, perjuangan Arsenal dihentikan Bayern Munich di peringkat suku akhir tahun lalu ketika The Gunners masih bersaing rapat dengan Manchester City dalam perebutan gelaran liga.

Kali ini, semua harapan kelab London itu diletakkan pada pentas Eropah dan Saka berkata, perlawanan pertama Rabu boleh menjadi antara perlawanan terbaik yang pernah disaksikan di Stadium Emirates.

“Perlawanan ini sangat besar dan taruhannya adalah tinggi menentang antara pasukan terbaik dalam pertandingan ini.

“Ini kali pertama kelab berada di suku akhir Liga Juara-Juara berturut-turut, jadi esok malam kami mahu mengambil langkah seterusnya dan cuba melepasi fasa ini,” katanya.

LIGA JUARA-JUARA

Suku Akhir Pertama

RABU (9 APRIL)

Bayern Munich lawan Inter Milan

(Allianz Arena, 3 pagi)

Arsenal lawan Real Madrid

(Stadium Emirates, 3 pagi)

KHAMIS (10 APRIL)

Barcelona lawan Borussia Dortmund

(Estadi Olímpic Lluís Companys, 3 pagi)

Paris Saint-Germain lawan Aston Villa

(Parc des Princes, 3 pagi)



Source link

OR

Scroll to Top