Saka meledak gol kedua Arsenal di Emirates.
BUKAYO Saka membuat penampilan semula sensasi bersama Arsenal selepas tiga bulan disisihkan dengan menjaringkan gol kemenangan ketika menjinakkan Fulham 2-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates pada Rabu.
Tonggak The Gunners berusia 23 tahun itu sebelum ini tidak beraksi untuk Arsenal selepas mengalami kecederaan hamstring di Crystal Palace sebelum Krismas, yang memaksa bintang England berkenaan menjalani pembedahan dan program pemulihan.
Namun, dia masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-66 dengan sorakan gemuruh daripada penyokong kelab utara London Emirates sebelum menjaringkan gol kedua Arsenal hasil tandukan selepas menyudahkan sentuhan Gabriel Martinelli.
“Sambutan daripada penyokong-penyokong Arsenal itu menyatakan segalanya buat Bukayo.
“”Itulah sebabnya dia antara pemain sayap terbaik di dunia, kerana bijak mengambil peluang, berada di posisi yang betul pada masa yang tepat dan melengkapkan malam yang hebat untuknya dan kami.
“Dia memberi kami jalan keluar. Semua pemain hadapan kami sangat berbeza. Dengan Bukayo kembali, ia adalah rangsangan sebenar,” kata Declan Rice selepas perlawanan.
Gunners yang berada di tempat kedua liga menguasai permainan separuh masa pertama mendahului pada minit ke-37 hasil rembatan daripada Mikel Merino.
Fulham mengurangkan defisit pada masa tambahan separuh masa kedua hasil sentuhan Rodrigo Muniz, tetapi Arsenal berjaya mempertahankan keputusan untuk mengurangkan sementara jurang Liverpool di puncak liga kepada sembilan mata.
Liverpool boleh mengembalikan kelebihan 12 mata apabila menjadi tuan rumah kepada Everton dalam derbi Merseyside pada Khamis.