July 13, 2024

Saka laung keyakinan

Saka laung keyakinan


BINTANG Arsenal, Bukayo Saka percaya England berada di landasan tepat untuk menjulang kejuaraan pertamanya dalam tempoh 58 tahun selepas satu lagi kebangkitan dramatik di Euro 2024.

Skuad kendalian Gareth Southgate itu mara ke separuh akhir selepas menundukkan Switzerland 5-3 menerusi penentuan penalti pada Ahad.

Sebelum perlawanan diheret ke penentuan penalti, Saka muncul wira pasukannya apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-80, sekali gus memadam kelebihan Switzerland menerusi jaringan Breel Embolo m-75.

Dalam penentuan sepakan penalti pula, Saka dipilih sebagai pengambil penalti ketiga dan tiada masalah memperdaya penjaga gol Switzerland, Yann Sommer.

Situasi itu melegakan Saka yang sebelum ini dikritik teruk susulan kegagalannya menyempurnakan penalti di perlawanan akhir Euro menentang Itali pada 2021 yang menyaksikan England tewas 2-3.

“Kami bermain selama 120 minit dalam dua perlawanan berturut-turut dan menang.

“Ini membuktikan bahawa kami mempunyai segala apa yang diperlukan untuk menjadi juara.

“Malah tahap keyakinan kami juga semakin meningkat seiring perjalanan kami menuju ke perlawanan akhir Euro,” katanya.

Skuad Three Lions sebelum ini dicemuh peminat sendiri dan dikritik hebat media di tanah air susulan prestasi goyah walaupun mengutip empat mata daripada dua perlawanan awal di Euro 2024.

Namun, kritikan tersebut semakin reda selepas England menempah slot separuh akhir bertemu Belanda pada Khamis ini.



Source link

OR

Scroll to Top