'Sakit dada tapi tak tahu itu ada kaitan masalah jantung' – Nazrey Johani

'Sakit dada tapi tak tahu itu ada kaitan masalah jantung' – Nazrey Johani


Kuala Lumpur: Bekas anggota kumpulan Raihan, Nazrey Johani, 54, yang dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kota Kinabalu, Sabah, sejak Ahad lalu akibat sakit jantung, dibenarkan pulang, pagi semalam.

Nazrey berkata, dia bagaimanapun masih dipantau doktor dan perlu menjalani pemeriksaan secara berkala, iaitu pada setiap minggu di pusat perubatan berkenaan.

“Alhamdulilah, pembedahan angiogram selama dua jam yang saya jalani di hospital lancar. Pernafasan saya sudah tidak sakit lagi macam sebelum ini.

“Sejak dua bulan lalu, saya sudah mula rasa sakit. Ada macam-macam simptom seperti sakit dada yang saya sendiri tak tahu itu sebenarnya berkaitan sakit jantung.

“Jadi, sekarang, saya dinasihati untuk menjaga makan. Saya tak boleh ambil makanan berkrim atau berminyak. Macam pagi tadi, saya ada makan roti berkrim, kemudian tidak lama selepas itu, dada rasa sakit semula,” katanya.

Nazrey berkata, selepas menjalani pembedahan memasukkan sten dan belon pada jantung berikutan beberapa saluran organ itu tersumbat, dia perlu mengambil masa sebulan untuk berehat.

“Sekarang, saya tidak boleh banyak menggunakan telefon bimbit, naik kapal terbang dan menyanyi dalam masa sekurang-kurangnya sebulan lebih. Saluran jantung saya pada bahagian kiri dan kanan sudah dimasukkan sten dan belon.

“Saya juga tidak boleh angkat barangan berat. Selepas dua hari keluar, saya rasa badan tidak begitu kuat lagi. Mungkin kesan daripada pembedahan,” katanya.

Selepas apa yang berlaku, Nazrey mengingatkan orang ramai untuk melalukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan mengambil langkah awal jika terjadi simptom kurang baik.

“Pemeriksaan kesihatan memang kena buat terutama kalau ada masalah kolesterol tinggi. Kena buat awal dengan ambil ubat mencairkan kolesterol dan darah.

“Untuk yang sudah masuk usia 40 atau 50 tahun, kemungkinan banyak kolesterol di saluran jantung itu. Tetapi, untuk penjagaan kena buat pemeriksaan kesihatan supaya kolestrol tidak membeku dalam saluran darah.

“Kes saya ini, doktor cakap dua saluran jantung pada kiri dan kanan, 99 peratus sudah tersumbat. Hanya ada satu saluran di tengah yang masih dapat membawa oksigen dan menyalurkan darah dengan lancar,” katanya.

Nazrey berkata, dia terpaksa akur apabila perlu berehat seketika daripada menjayakan kegiatan nasyid termasuk menarik diri daripada meneruskan persembahan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), malam ini.

“Dalam tempoh sebulan ini saya perlu berehat bagi mengelak sten pada jantung itu tiba-tiba teralih. Apabila menyanyi, jantung akan banyak digunakan.

“Walaupun malam ini saya ada persembahan di SICC, tapi atas saranan doktor, saya perlu tarik diri supaya dapat berehat. Saya tidak tahu kalau menyanyi nanti, tiba-tiba jantung saya berhenti. Sekarang saya hanya ikut pesanan doktor.

“Saya juga tidak boleh naik kapal terbang dalam masa enam bulan walaupun ada banyak projek dan persembahan dengan kumpulan The Zikr dan Yabang,” katanya.

Berita Nazrey dimasukkan ke hospital akibat masalah jantung dimaklumkan bekas Pegawai Perhubungan Awam (PRO) Warner Music Malaysia, Mas Ayie Mas Omar kepada BH Online.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top