SHAH ALAM: Polis meminta saksi kejadian tampil bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak autistik yang didakwa cedera ketika berada di sebuah taska di Seksyen 7, di sini, 15 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan kes melibatkan mangsa lelaki berusia enam tahun itu dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Kata beliau, pihaknya telah merujuk kertas siasatan kepada Pihak Penasihat Undang-Undang Selangor yang berkeputusan tiada tindakan lanjut (NFA) kerana tiada keterangan kukuh bagi meneruskan kes setakat ini.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian tidak nampak mangsa dicederakan.
“Buat masa ini, tiada keterangan untuk teruskan siasatan dan jika terdapat bukti-bukti lain mana-mana saksi, polis akan teruskan siasatan dan merujuk ke Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut,” katanya hari ini.
Menurut Mohd. Iqbal, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 34 tahun iaitu ibu kanak-kanak itu, pukul 11.18 pagi, 16 Januari.
“Kejadian itu disedari bapa mangsa ketika mahu memandikan anaknya dan melihat kesan kemerahan di belakang badan mangsa dan bawah mata kanan, kira-kira pukul 9.30 malam.
“Selain itu, ibu mangsa memaklumkan anaknya tidak aktif dan kurang berinteraksi semasa diambil daripada taska berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Siasatan mendapati mangsa yang mempunyai autisme ringan (Mild Austism)sukar berkomunikasi dan belajar di taska itu sejak 2022.
“Ia merupakan kejadian kali pertama berlaku dan taska itu merupakan sebuah rumah teres setingkat yang beroperasi sejak 2021 dengan mempunyai lesen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sehingga 14 Mac depan,” ujarnya.
Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor S. Vemal di talian 011-39216101 atau balai polis berdekatan.
Terdahulu, tular gambar kanak-kanak lelaki yang didakwa mengalami kecederaan semasa berada di sebuah taska di Seksyen 7, di sini. – UTUSAN