Saksi tak pernah goda Ebit Lew

Saksi tak pernah goda Ebit Lew


TENOM – Saksi kesembilan kes gangguan seksual melibatkan Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew, memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa dia tidak pernah menggoda atau mempunyai sebarang hubungan dengan pendakwah tersebut.

Wanita berusia 40-an itu berkata, dia menghubungi Ebit Lew hanyalah untuk menyelesaikan masalah kekeluargaan dan tertuduh pada masa sama juga mengambil berat terhadap masalahnya.

Saksi itu berkata tertuduh akan memberi pujian sebelum menghantar mesej-mesej berunsur lucah selain meminta dia menghantar gambar kepadanya.

“Saya pun tidak pernah terfikir untuk jalinkan hubungan dengan Ebit (Lew) , apa lagi untuk tujuan seks. Saya masih lagi layan mesej-mesej beliau sehingga ada ketika saya ikut kehendak beliau yang meminta gambar saya,” katanya.

Wanita itu berkata demikian di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria pada perbicaraan kes gangguan seksual pendakwah terbabit hari ini.

Saksi berkata dia dikecam apabila membuat laporan polis terhadap Ebit Lew malah ada pihak yang mendakwa dia memfitnah tertuduh.

“Saya tidak ada keperluan (memfitnah tertuduh) dan saya tidak fitnah dia. Apa yang dia buat itu (gangguan seksual) memang betul dan dia (mempunyai) ramai mangsa pun betul sebab dia mengaku kepada saya pada 29 Julai 2021,” katanya yang turut membuat pengecaman terhadap tertuduh.

Wanita itu berkata sepanjang Mac hingga Jun 2021, selain menerima mesej lucah, Ebit Lew juga membuat panggilan kepadanya melalui aplikasi WhatsApp, panggilan video dan mesej di Instagram.

Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top