LEGENDA Liverpool, Jamie Carragher secara terbuka mengkritik sikap bintang sensasi, Mohamed Salah yang didakwa ‘lepas tangan’ ketika kelab itu sedang berdepan prestasi buruk dan siri kekalahan yang memalukan.
Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dimalukan 3-0 oleh Nottingham Forest di Anfield baru-baru ini menjadikan ia kekalahan keenam dalam tujuh perlawanan liga terakhir mereka.
Peluang skuad kendalian Arne Slot untuk mempertahankan kejuaraan kini kelihatan semakin pudar apabila sekadar menduduki tangga ke-12 liga, ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Arsenal.
Ia merupakan kejatuhan mendadak selepas The Reds memenangi liga dengan selesa pada musim pertama Slot, malah memulakan kempen kali ini dengan lima kemenangan berturut-turut sebelum prestasi merudum secara tiba-tiba.
Carragher mengakui punca sebenar kemerosotan itu masih menjadi tanda tanya, namun beliau menuntut pemain senior seperti Salah untuk tampil mengambil tanggungjawab dan berdepan dengan situasi semasa.
Bekas pertahanan kental Liverpool itu membandingkan sikap Salah dengan kapten pasukan, Virgil van Dijk yang disifatkan konsisten berhadapan media dan menjawab kritikan, manakala Salah didakwa hanya bersuara apabila keadaan memihak kepadanya.
“Saya tidak tahu dan tiada siapa yang tahu apa yang berlaku. Pengurus melihat pemain setiap hari dan dia masih belum dapat memperbaikinya. Kita sedang bercakap mengenai pengurus yang telah memenangi Liga Perdana.
“Saya lihat Virgil van Dijk selepas perlawanan (menentang Nottingham Forest) sekali lagi tampil bercakap seperti seorang kapten. Dia menyifatkan keadaan Liverpool sebagai ‘bercelaru’.
“Saya mesti katakan, di sebalik semua kekalahan Liverpool ini, selalunya Van Dijk yang tampil ke depan. Memang kapten sepatutnya begitu, tetapi perlu ada pemain lain dalam bilik persalinan itu yang turut bersuara mewakili kelab.
“Saya hanya dengar Salah bercakap apabila dia memenangi anugerah Pemain Terbaik Perlawanan, atau ketika dia memerlukan kontrak baharu. Saya mahu lihat Mo Salah tampil sebagai salah seorang pemimpin, salah seorang legenda Liverpool, untuk bercakap bagi pihak pasukan. Ia tidak sepatutnya diserahkan kepada kapten semata-mata,” tegas Carragher kepada Sky Sports.
Kenyataan pedas Carragher itu merujuk kepada tindakan Salah pada November tahun lalu yang lantang bersuara mengenai situasi kontraknya, mendakwa dia “lebih hampir untuk keluar daripada kekal” apabila tiada tawaran baharu diterima ketika itu.
Salah akhirnya menandatangani perjanjian baharu bersama kelab, namun prestasinya musim ini dilihat jauh merosot berbanding aksi memukau yang dipamerkan pada kempen lalu.





