LIVERPOOL mengalami kekalahan 1-2 kepada Newcastle United dalam perlawanan akhir Piala Liga pada awal pagi Isnin dan bintang The Reds, Mohamed Salah dikecam oleh peminat kerana ‘ghaib’ di Stadium Wembley.
Gol daripada Dan Burn dan Alexander Isak memberikan Newcastle kelebihan yang selesa sebelum Federico Chiesa memberikan harapan buat Liverpool selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.
Perlawanan berakhir dengan situasi tegang, tetapi ia sudah terlambat untuk Liverpool mencipta kebangkitan dramatik yang menyaksikan Newcastle meraikan trofi pertama mereka sejak tahun 1955.
Salah telah membuktikan dirinya sebagai salah seorang pemain terhebat dalam sejarah Liverpool sejak tiba dari AS Roma pada 2017, dan kini berada di tempat ketiga dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu.
Dia membantu Liverpool menamatkan penantian 30 tahun untuk kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) serta menambah trofi Liga Juara-Juara (UCL) keenam ke dalam koleksi kelab.
Namun, dia gagal menunjukkan magisnya dalam persembahan hambar menentang Newcastle.
Pemain sayap Mesir itu sedang menikmati musim yang luar biasa dengan 32 gol dan 22 bantuan jaringan dalam semua pertandingan, tetapi para penyokong mula hilang sabar dengan statistik mengejutkannya dalam perlawanan akhir di Wembley.
Salah tidak pernah menjaringkan gol dari permainan terbuka dalam mana-mana perlawanan akhir utama dan kemarau itu berterusan pada awal pagi Isnin.
“Salah menghilang dalam perlawanan akhir…” tulis seorang penyokong di media sosial, diikuti dengan pelbagai komen lain yang mempersoalkan prestasinya dalam perlawanan besar.
“Mohamed Salah dan perlawanan akhir. Kita perlu bincangkan perkara ini,” tulis seorang lagi penyokong.
“Mo Salah! Mo Salah! menghilang di sayap!” sindir seorang peminat, meniru lagu sorakan popularnya di Liverpool.
Namun, ada juga yang mempertahankan Salah dan menegaskan bahawa dia tidak boleh sentiasa dipertanggungjawabkan setiap kali The Reds gagal memenangi perlawanan.
“Kita ada beberapa penyerang biasa-biasa saja yang telah dibantu sepenuhnya oleh Mohamed Salah sepanjang musim ini,” kata seorang penyokong.
“Salah mungkin tidak menyerlah hari ini, tetapi dialah sebab utama Liverpool menikmati kejayaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” tambah seorang lagi penyokong.
Salah gagal melakukan sebarang percubaan sepanjang perlawanan akhir dan hanya menyentuh bola sebanyak 18 kali dalam tempoh 90 minit.
Chiesa pula menjadi penyerang terbaik Liverpool dalam perlawanan itu, walaupun hanya bermain selama 20 minit selepas menggantikan Ryan Gravenberch.
Ia adalah minggu yang sukar bagi Liverpool yang tersingkir daripada UCL pada Rabu lalu selepas tewas di laman sendiri kepada Paris Saint-Germain (PSG).
Liverpool berjuang sehingga masa tambahan sebelum tewas dalam penentuan sepakan penalti dan Salah dilihat menitiskan air mata selepas perlawanan.
Aksi tambahan 30 minit itu memberi kesan besar pada aksi final di Wembley, apabila Liverpool kekurangan tenaga untuk menewaskan Newcastle.
Beberapa minggu lalu, Liverpool masih bersaing dalam keempat-empat pertandingan, tetapi selepas tersingkir daripada Piala FA dan UCL, Newcastle turut menamatkan impian mereka di Piala Liga.
Kini, hanya gelaran EPL kelihatan hampir pasti dalam genggaman dengan Liverpool memiliki kelebihan 12 mata di hadapan Arsenal di tempat kedua.
Namun, Arne Slot mungkin akan melihat kembali musim pertamanya sebagai ketua jurulatih dengan beberapa penyesalan.