PENGENDALI Liverpool, Arne Slot melakukan keputusan berani apabila menggugurkan bintang utama, Mohamed Salah bagi aksi Liga Perdana Inggeris menentang West Ham pada Ahad.
Tindakan itu diambil ketika pengendali The Reds itu berdepan tekanan hebat susulan tewas sembilan daripada 12 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan, jauh berbeza berbanding skuad ampuh yang mendominasi liga musim lalu.
Langkah yang dilakukannya itu berhasil selepas The Reds kembali ke landasan kemenangan apabila menewaskan West Ham United 2-0.
Prestasi Salah secara khususnya dilihat merudum seiring dengan kemerosotan mendadak pasukan, namun Slot menegaskan tiada sebarang isu peribadi di sebalik keputusan menyisihkan pemain antarabangsa Mesir itu daripada kesebelasan utama.
“Kami mempunyai lebih ramai pemain di bangku simpanan selain Mo (Salah), tetapi saya faham mengapa soalan itu diajukan.
“Kami telah mengharungi empat perlawanan dalam tempoh 10 hari. Saya memiliki ramai pemain berkualiti, jadi untuk hari ini saya memilih barisan pemain yang berbeza.
“Kadangkala Alex berada di bangku simpanan, kadangkala Florian. Ia sentiasa mengenai siapa yang berada di bangku simpanan, tetapi ia juga mengenai pemain yang memulakan perlawanan dan itulah kesebelasan yang saya pilih hari ini,” katanya.
Secara keseluruhan, Slot melakukan empat pertukaran berbanding skuad yang tewas Rabu lalu, dengan Florian Wirtz kembali selepas pulih daripada kecederaan, manakala Joe Gomez mengisi posisi bek kanan.
Bagaimanapun, ketiadaan Salah menjadi tumpuan utama memandangkan beliau menerima kritikan pedas sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Selepas menamatkan spekulasi dengan menandatangani kontrak jangka panjang baharu, prestasi Salah dikatakan jatuh jauh di bawah standard tinggi yang ditetapkannya sepanjang karier gemilang di Liverpool.
Bukan sahaja ketajaman penyudah yang hilang, malah kurangnya semangat juang yang dipamerkannya akhir-akhir ini mula menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong.





