Salah tenggelam ketika perlawanan Perisai Komuniti menentang Crystal Palace baru-baru ini. Foto: Agensi
MOHAMED Salah kini menjadi tumpuan selepas prestasinya menjunam sejak Mac lalu.
Penyerang sensasi Liverpool itu berdepan tekanan hebat untuk membuktikan dirinya masih berbisa menjelang sepak mula Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini.
Kekalahan Liverpool kepada Crystal Palace dalam aksi Perisai Komuniti (tewas 2-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2) menguatkan lagi keraguan terhadap ketajamannya.
Diletakkan di posisi sayap kanan, Salah gagal melakukan sebarang hantaran lintang atau larian menggelecek yang berjaya, tewas enam pertarungan satu lawan satu, malah menutup aksi hambarnya dengan sepakan penalti yang melambung tinggi melepasi palang.
Rekod semasanya membimbangkan apabila hanya empat gol dan satu bantuan jaringan dalam 13 perlawanan sejak Mac, berbanding 30 gol dan 22 bantuan jaringan dalam 39 perlawanan sebelum itu.
Prestasi pramusim turut mengecewakan apabila hanya menjaringkan satu gol dalam enam aksi persahabatan.
Lebih memeritkan buat Liverpool, kemerosotan Salah hadir sejurus selepas bintang Mesir itu memeterai kontrak baharu bernilai jutaan paun hingga 2027, menjadikannya antara penerima gaji tertinggi dalam sejarah kelab.
Media Britain turut mengkritik keras persembahannya, Daily Express memberikan markah 4/10 dengan menegur sentuhan bola yang terlalu sedikit dan peluang keemasan yang disia-siakan, manakala The Telegraph menyifatkan sepakan penaltinya sebagai ‘malapetaka’.
Pengendali Liverpool, Arne Slot bagaimanapun menegaskan pasukan masih dalam proses menyesuaikan diri dengan empat pemain baharu dan percaya Salah akan kembali menemui sentuhan berbisa.
Namun, pada usia 33 tahun, kebimbangan mengenai penurunan tahap fizikalnya semakin diperkatakan.
Perlawanan pembukaan menentang Bournemouth di Anfield awal pagi Sabtu ini (3 pagi waktu Malaysia) boleh menjadi titik kebangkitan atau isyarat awal kemerosotan pengaruh salah seorang penyerang terbaik dalam sejarah Liverpool.