PENGENDALI Liverpool, Arne Slot tampil mempertahankan Mohamed Salah meskipun penyerang Mesir itu gagal memanfaatkan beberapa peluang ketika tewas 1-2 kepada Chelsea di Stamford Bridge pada Ahad.
Slot menegaskan, Salah juga manusia biasa yang berhak melalui hari yang kurang menjadi.
Sejak menyertai Liverpool dari AS Roma pada tahun 2017, Salah telah menetapkan piawaian tinggi apabila tidak pernah menjaringkan kurang daripada 18 gol Liga Perdana Inggeris dalam satu musim sepanjang lapan musim penuh bersama The Reds.
Musim ini, pemain berusia 33 tahun itu sudah meledak tiga gol dan mencatat tiga bantuan gol dalam semua kejohanan, namun kegagalan mencipta sebarang jaringan atau bantuan ketika menentang Chelsea menjadikan ia perlawanan ketiga liga dia gagal mencatat nama sebagai penyumbang gol.
Salah direhatkan pada pertengahan minggu lalu dan hanya dimasukkan sebagai pemain gantian selama 28 minit ketika Liverpool dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Galatasaray dalam aksi Liga Juara-Juara.
“Menarik untuk difikirkan, adakah dia berjaya mencipta banyak peluang hari ini kerana tidak bermain pertengahan minggu? Atau adakah dia terlepas peluang kerana kekurangan ketajaman yang mungkin dia ada jika bermain menentang Galatasaray? Kita takkan tahu.
“Apa yang saya suka, dia sering berada di posisi yang dia dan saya mahukan. Berdasarkan kariernya, sejak saya di sini pun, dia sudah membuktikan mampu menjaringkan gol.
“Hari ini dia ada banyak peluang untuk lakukan apa yang sering dia lakukan, tapi dia manusia. Bukan setiap peluang yang dia dapat akan berakhir dengan gol.
“Kadang-kadang dia akan ada perlawanan di mana dia berada di posisi terbaik tetapi tidak menjaringkan atau mencipta bantuan gol,” katanya.
Ringkasan AI
- Pengendali Liverpool, Arne Slot, mempertahankan Mohamed Salah meskipun gagal memanfaatkan peluang ketika tewas kepada Chelsea
- Salah juga manusia biasa yang berhak melalui hari yang kurang menjadi
- Sejak menyertai Liverpool, Salah tidak pernah menjaringkan kurang daripada 18 gol Liga Perdana Inggeris dalam satu musim
- Musim ini, Salah sudah meledak tiga gol dan mencatat tiga bantuan gol dalam semua kejohanan
- Salah direhatkan pada pertengahan minggu lalu dan hanya dimasukkan sebagai pemain gantian selama 28 minit dalam aksi Liga Juara-Juara