BINTANG Liverpool, Mohamed Salah menandakan penampilan selepas menandatangani kontrak baharu dengan aksi cemerlang apabila mencipta bantuan jaringan dalam kemenangan 2-1 ke atas West Ham pada Ahad.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Anfield itu, Salah mencipta satu bantuan gol menerusi hantaran yang disudahkan oleh Luis Diaz untuk gol pertama pasukan.
Bantuan jaringan itu menjadikan jumlah penglibatannya dalam jaringan musim ini kepada 45 bantuan mengatasi rekod yang sebelum ini dikongsi oleh Thierry Henry dan Erling Haaland iaitu 44 penglibatan dalam satu musim Liga Perdana Inggeris (EPL).
Setakat ini, Salah merekodkan 27 gol dan 18 bantuan jaringan dalam 32 penampilan liga bagi musim 2024/25, dengan enam baki perlawanan masih menanti. Liverpool kini hanya enam mata di belakang untuk merangkul kejuaraan liga.
Rekod 18 bantuan jaringan itu turut meletakkan Salah di tempat keempat dalam sejarah EPL, di belakang Henry (20, musim 2002/03), Kevin De Bruyne (20, 2019/20) dan Mesut Ozil (19, 2015/16).
Ini bermakna, jika Salah berjaya mencipta tiga lagi bantuan jaringan dalam baki enam perlawanan, dia bakal mencatat satu lagi rekod baharu dalam saingan liga utama England.
Secara keseluruhan dalam semua kejohanan musim ini, pemain berusia 32 tahun itu telah menjaringkan 32 gol dan mencipta 23 bantuan jaringan dalam 46 perlawanan.
Tiada pemain lain dari lima liga utama Eropah yang mencatat lebih 50 penglibatan gol dalam semua kejohanan kelab musim ini.