Salah pilih kawan boleh binasa iman dan maruah

Salah pilih kawan boleh binasa iman dan maruah


LULUH hati apabila mendengar berita kes rogol bergilir-gilir membabitkan pelajar sekolah baru-baru ini yang masing-masing merupakan rakan dan bakal mengambil peperiksaan besar tahun ini.

Lebih memilukan, perbuatan keji itu dilakukan di dalam kelas, siap ada yang bertindak sebagai ‘penjaga’ tangga bagi mengelakkan kegiatan terkutuk itu dihidu orang lain, di samping turut direkodkan dalam telefon bimbit.

Bayangkan kita sebagai orang luar pun sudah berasa marah dan hiba mendengarnya, inikan pula keluarga mangsa yang perlu menanggung aib serta trauma akibat perbuatan tersebut.

Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, kejadian sebegini berpunca daripada rapuhnya iman dan kesilapan memilih kawan.

DR AHMAD SANUSI

Dalam al-Quran, ALLAH SWT sudah memberi peringatan keras bahawa sahabat buruk boleh menjerumuskan seseorang ke lembah penyesalan.

Firman ALLAH SWT: “Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib!” (Surah al-Furqan: 28)

”Atas dasar itulah Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa pendirian seorang lelaki kadangkala bergantung kepada pegangan agama sahabatnya juga,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Ahad.

Perkara itu turut dinyatakan jelas dalam hadis Nabi Muhammad SAW: “Seorang lelaki itu (bergantung kepada pegangan) agama sahabatnya. Maka perhatikanlah dengan siapa kamu bersahabat.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Berdasarkan nas itu, ujar Dr Ahmad Sanusi, ia jelas memberi gambaran bahawa hubungan persahabatan bukanlah perkara kecil di sisi Islam.

Ini kerana ia boleh menentukan arah hidup seseorang sama ada membawa ke jalan hidayah mahupun menjerumuskan ke lembah dosa.

BERHATI-HATILAH dalam memilih teman dan membina jaringan sosial agar kita tidak terjerumus ke lembah kehinaan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

BERHATI-HATILAH dalam memilih teman dan membina jaringan sosial agar kita tidak terjerumus ke lembah kehinaan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Justeru, beliau mengingatkan kita supaya berhati-hati dalam memilih teman dan membina jaringan sosial.

“Manusia akan mulia andai dihiasi dengan agama. Jika tidak, manusia berupaya menjadi lebih teruk daripada binatang,” tegasnya.

Perkara itu dijelaskan dalam al-Quran yang menggambarkan manusia tidak lagi menggunakan akal, mata dan telinga untuk menerima kebenaran.

Firman ALLAH SWT: “Dan sesungguhnya KAMI jadikan untuk neraka jahanam itu itu banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat ALLAH), yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan ALLAH) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi.” (Surah al-A’araf: 179)



Source link

OR

Scroll to Top