SPEKULASI mengenai masa depan bintang Mesir, Mohamed Salah akhirnya terjawab apabila penyerang itu sah menandatangani kontrak baharu bersama Liverpool, sekali gus menamatkan teka-teki yang berlarutan selama beberapa bulan.
Salah sebelum ini memberi bayangan bahawa musim ini mungkin menjadi penampilan terakhirnya di Anfield selepas kontraknya dijadual tamat pada musim panas ini.
Namun, dia kini komited untuk terus menyarung jersi The Reds di bawah kendalian Arne Slot menerusi kontrak dua tahun yang akan mengekalkannya di kelab tersebut sehingga sekurang-kurangnya 2027.
“Sudah tentu saya sangat teruja. Kami kini mempunyai pasukan yang hebat seperti sebelum ini. Saya menandatangani kontrak ini kerana saya percaya pasukan berpeluang untuk memenangi lebih banyak trofi.
“Saya melalui detik terbaik dalam karier saya di sini. Lapan tahun saya di Anfield, dan saya harap akan jadi 10 tahun. Saya gembira dengan kehidupan dan bola sepak saya di sini.
“Kepada para penyokong, saya ingin ucapkan terima kasih. Saya sangat gembira untuk terus bersama kelab ini. Saya percaya kita boleh menang banyak trofi besar bersama. Teruskan beri sokongan dan kami akan berikan yang terbaik. Harapnya masa depan cerah dengan lebih banyak kejuaraan,” katanya.
Salah menyertai Liverpool dari AS Roma pada musim panas 2017 dan sejak itu menjadi antara penyerang terbaik dunia.
Setakat ini, dia telah membuat hampir 400 penampilan bersama kelab itu dan memenangi tujuh trofi utama termasuk Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.
Musim ini, Salah telah menjaringkan 32 gol dalam 45 perlawanan merangkumi semua kejohanan dengan 27 daripadanya dalam saingan Liga Perdana.
OR